Pemberian kontrak MRT3 mungkin dianjak ke suku pertama 2023 ekoran pembubaran Parlimen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemberian kontrak MRT3 mungkin dianjak ke suku pertama 2023 ekoran pembubaran Parlimen

Kontrak bagi projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) sepatutnya diumumkan pada suku keempat ini. - Gambar : Facebook MRT Corp
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 13 Okt - Masalah tenaga kerja dan kos bahan binaan yang tinggi akan terus memberi cabaran kepada sektor pembinaan sekiranya tidak diurus dengan baik, demikian menurut RHB Investment Bank. 

 

Ini ditambah lagi dengan ketidaktentuan menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dengan portfolio nyahrisiko tidak dapat dielakkan di tengah-tengah ketidakstabilan kepimpinan memandangkan sektor tersebut bergantung kepada dasar-dasar kerajaan. 

 

Penganalisisnya, Adam Mohamed Rahim berkata, situasi itu dapat dilihat apabila indeks pembinaan Bursa Malaysia menunjukkan prestasi rendah menjelang PRU12, PRU13 dan PRU14 sebelum ini. 

 

Oleh itu, katanya, keputusan pilihan raya akan datang boleh memacu kembali prestasi jangka pendek sektor pembinaan terutamanya jika kerajaan berjaya mengekalkan kedudukan majoriti yang meyakinkan.

 

"Keputusan ini mungkin menunjukkan ke arah kestabilan politik dan menjadi pendorong kepada penarafan semula sektor pembinaan. 

 

"Tetapi jika sebaliknya, majoriti yang lemah atau Parlimen yang tergantung mungkin mencetuskan kebimbangan mengenai kesinambungan dasar," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

 

gambar hiasan

 

 

Pada Isnin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa 10 Oktober 2022 selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

 

Perdana Menteri membuat pengumuman itu setelah kerajaan selesai membentangkan Bajet 2023 pada Jumaat lalu yang menyaksikan peruntukan sebanyak RM372.3 bilion.

 

Bajet 2023 turut menyediakan peruntukan perbelanjaan pembangunan terbesar dalam sejarah negara iaitu sebanyak RM95 bilion, meningkat dengan ketara berbanding peruntukan 2022 sebanyak RM75.6 bilion dan RM64 bilion pada 2021.

 

Menurut Adam, pemberian kontrak terutamanya Transit Aliran Massa 3 (MRT3) yang sepatutnya diumumkan pada suku keempat ini mungkin tertangguh sehingga suku pertama 2023 berikutan pembubaran Parlimen. 

 

"Dengan kemungkinan berlakunya kelewatan ini, aliran kontrak kerajaan bagi 2022 dijangka menurun berbanding 2021," jelasnya.

 

Beliau mendapati, bagi asas bulanan, nilai projek menurun secara berperingkat-peringkat daripada RM12.7 bilion pada Julai 2022 kepada RM4.5 bilion pada September. 

 

"Jumlah nilai projek pada September ini sebenarnya adalah yang terendah sejak Mei 2020. Statistik sedemikian menunjukkan bahawa nilai kontrak setakat ini telah berkurangan," tambahnya.

 

 

gambar hiasan

 

 

Menurutnya, walaupun harga bar keluli menurun buat bulan keempat berturut-turut pada September, harga bahan binaan lain terus kekal tinggi. 

 

Sebagai contoh, katanya, harga simen pukal meningkat 33% tahun ke tahun pada September, menandakan bulan ke-11 berturut-turut kenaikan dua digit tahun ke tahun. 

 

"Oleh itu, tekanan dari segi harga bahan binaan masih kekal, menimbulkan risiko pemampatan margin yang berterusan untuk kontraktor," katanya.

 

Adam juga berpendapat pertumbuhan 8% jumlah pekerja dalam sektor pembinaan daripada 1.16 juta pada 2022 kepada 1.18 juta pada 2023 seperti diunjurkan Kementerian Kewangan dalam laporan Prospek Ekonomi 2023, mungkin tidak mencukupi.

 

"Ini kerana sektor pembinaan masih kekurangan kira-kira 500,000 pekerja. Tambahan pula pekerja asing berkemahiran rendah masih kekal rendah, sekitar 7.3% daripada jumlah pekerja dan masih dalam paras ambang yang dibenarkan di bawah 15% daripada jumlah pekerjaan pada akhir Ogos 2022.

 

"Situasi pekerja asing yang rumit mungkin lebih buruk, sekiranya berlaku pembatalan secara tiba-tiba yang mungkin timbul daripada sebarang isu ketidakpatuhan," jelasnya.

 

Mengambil kira semua faktor tersebut, RHB Investment mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor pembinaan dengan pilihan utamanya ialah saham Kerjaya Prospek Group Bhd. dan Sunway Construction Group Bhd. - DagangNews.com