KUALA LUMPUR 7 Okt - Kerajaan akan menyediakan insentif penggajian di bawah PERKESO kepada majikan yang menggaji belia berumur 18 hingga 30 tahun yang menganggur lebih daripada tiga bulan, bagi memastikan anak muda diberi akses pekerjaan sewajarnya.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, selain itu, insentif ini turut dipanjangkan kepada majikan yang mengambil graduan TVET.
"Sungguhpun negara berjaya mencapai tahap guna tenaga penuh, tetapi kadar pengangguran bagi mereka di bawah 25 tahun, termasuk lepasan sekolah dan institut pengajian tinggi masih berada pada tahap 11% setakat suku kedua 2022.
"Hal ini akan terus diberi perhatian,” kata beliau ketika membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat hari ini.
Tengku Zafrul berkata, bagi menggalakkan lebih ramai anak muda berniaga, sejumlah RM305 juta tersedia sebagai kemudahan pinjaman khusus untuk belia melalui SME Bank, TEKUN, MARA, BSN dan Agrobank.
Antaranya, Skim Penjaja Muda Keluarga Malaysia di bawah BSN dengan dana 50 juta ringgit akan menawarkan pinjaman sehingga RM50,000 untuk 10,000 anak muda menjana pendapatan sendiri seperti mengusahakan food truck.
"Bagi membantu kumpulan B40 khususnya belia menjana pendapatan melalui perkhidmatan membawa penumpang seperti teksi, bas dan e-hailing, Kerajaan bersetuju untuk menanggung bayaran bagi mendapatkan lesen teksi, bas dan e-hailing di bawah program MyPSV.
"Selain itu, Kerajaan turut bersetuju menanggung bayaran ujian memandu untuk lesen motosikal kelas B2," kata beliau.
Bagi menggalakkan lagi belia bekerja, Skim TEKUN Belia Mobilepreneur diteruskan dengan RM10 juta bagi membiayai modal anak muda terlibat dalam perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal.
Menurutnya, Pakej Remaja Keluarga Malaysia telah membantu belia untuk mendapatkan pakej prabayar dengan tawaran langganan pelan data internet dengan hanya RM30t untuk tempoh tiga bulan.
"Bagi merapatkan jurang digital dalam kalangan belia di samping melancarkan sesi pembelajaran pelajar, inisiatif ini dilanjutkan sehingga April 2023," ujarnya.
Melentur buluh biarlah dari rebungnya ujar beliau, inisiatif e-Pemula tahun ini telah menawarkan kredit e-dompet berjumlah RM150 kepada belia.
"Atas komitmen Perdana Menteri untuk menambah baik program ini, e-Pemula akan diteruskan dengan menaikkan jumlah kredit kepada RM200 untuk manfaat 2 juta belia 18 hingga 20 tahun dan pelajar sepenuh masa 21 tahun ke atas dengan peruntukan RM400 juta," katanya. - DagangNews.com








