KUALA LUMPUR 7 Nov - Prospek inflasi pada tahun hadapan masih lagi samar, menantikan keputusan yang bakal dilaksanakan kerajaan terhadap mekanisme subsidi bahan api selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Menurut MIDF Research, sekiranya kerajaan baharu mengekalkan status quo terhadap subsidi bahan api, maka inflasi utama dijangka berlegar antara 2.3 hingga 2.5% pada 2023.
"Tetapi, jika mekanisme subsidi ini dimansuhkan sepenuhnya, inflasi utama boleh mencecah sehingga 10%, manakala kenaikan beransur-ansur dalam harga bahan api runcit domestik akan mencecah antara 4 hingga 5% pada tahun depan.
"Namun, melangkah ke 2023, faktor inflasi yang didorong bekalan dijangka berkurangan antara lain disokong pengukuhan ringgit berbanding dolar AS, harga makanan yang sederhana, tekanan rantaian bekalan global yang semakin mereda dan harga komoditi yang agak rendah," katanya dalam nota kajian bertarikh 4 November 2022.
Pada Julai lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan dalam tempoh mengkaji keberkesanan mekanisme subsidi bersasar bahan api sebelum pelaksanaan menyeluruh kepada rakyat bagi memastikan kelancaran penyalurannya.
Setakat ini, masih tiada tarikh tepat pelaksanaan subsidi bersasar itu, tetapi kerajaan akan memastikan mekanisme subsidi bersasar yang kukuh dilaksanakan dan tidak memberikan kesan buruk kepada rakyat.
Secara keseluruhan, MIDF Research mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia akan menyederhana kepada 4.2% pada 2023 susulan ketidaktentuan luaran dan dasar monetari yang lebih ketat di kebanyakan negara.
Jelasnya, pertumbuhan yang lembap ini disebabkan terutamanya penurunan prestasi perdagangan luar ekoran permintaan global yang lebih perlahan.
"Selain itu, normalisasi pertumbuhan KDNK pada tahun depan juga disebabkan tiadanya kesan asas yang rendah, yang akan merangsang pertumbuhan tahun ini.
"Sebaliknya, kami optimis ekonomi domestik akan didorong oleh perbelanjaan pengguna yang berterusan, peningkatan dalam aktiviti berkaitan pelancongan dan pemulihan projek infrastruktur," jelasnya.
Firma itu mendapati perbelanjaan pengguna di Malaysia berkembang dengan kukuh seperti yang ditunjukkan dalam pertumbuhan jualan perdagangan runcit sebanyak 23.2% tahun ke tahun dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.
Ia menjangkakan penggunaan swasta meningkat 6.6% pada 2023 didorong oleh pertumbuhan gaji benar yang positif, pasaran buruh yang bertambah baik, tekanan inflasi yang stabil dan insentif fiskal.
"Kami percaya permintaan terpendam akan berterusan dengan syarat tiada perubahan ketara dalam tekanan inflasi keseluruhan yang boleh menghakis kuasa beli.
"Dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa, aktiviti pelancongan akan bertambah baik secara sederhana, namun masih di bawah paras sebelum pandemik," katanya.
Malah, menurutnya, perbelanjaan pengguna di Malaysia juga kekal stabil di tengah-tengah inflasi yang stabil dan kadar pengangguran dijangka menurun lagi kepada 3.5% pada tahun depan.
"Ini antara lain disokong hasil pemulihan ekonomi yang mampan dalam tempoh pasca wabak serta kembalinya pekerja bukan warganegara ke pasaran kerja Malaysia," jelasnya. - DagangNews.com








