Indeks pengeluaran industri pada November naik 4.8%, didorong pengembangan dalam tiga sektor - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Indeks pengeluaran industri pada November naik 4.8%, didorong pengembangan dalam tiga sektor - DOSM

KUALA LUMPUR 11 Jan - Indeks pengeluaran perindustrian (IPI) Malaysia meningkat sebanyak 4.8% pada November 2022 berbanding 4.6 peratus pada bulan sebelumnya, diperkukuh oleh pengembangan dalam sektor perlombongan, pembuatan dan elektrik, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

 

Ketua Perangkaan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks perlombongan dan pembuatan masing-masing berkembang sebanyak 6.1% dan 4.8%, manakala indeks elektrik kembali pulih untuk mencatat pertumbuhan positif sebanyak 1.2% pada November.

 

Beliau menyatakan demikian dalam keluaran penerbitan IPI yang terdiri daripada tiga sektor, perlombongan, pembuatan dan elektrik hari ini.

 

Industri berorientasikan eksport berkembang sebanyak 5.1% (Oktober 2022: 5%), diterajui oleh pembuatan komputer, elektronik dan optik produk, dan bahan kimia dan produk kimia.


 

Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin
                                          Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin

 


Industri berorientasikan dalam negeri meningkat sebanyak 4.3% (Oktober 2022: 2.5%) dengan pertumbuhan disokong oleh pembuatan produk pemprosesan makanan, dan kenderaan bermotor, treler dan separa treler.

 

IPI pembuatan November melantun semula sedikit sebanyak 0.7% daripada negatif Oktober 1.8%, kata jabatan itu.

 

Keluaran sektor perlombongan meningkat 6.1% pada November selepas pengembangan kukuh 8.6% pada Oktober.

 

Pertumbuhan sektor itu disumbangkan oleh kenaikan 8.2% dalam indeks gas asli dan 3.1% dalam indeks minyak mentah dan kondensat.

 

Indeks perlombongan November meningkat sebanyak 3.5% berbanding kenaikan 1.8% pada Oktober. - DagangNews.com