KUALA LUMPUR 15 Dis - Harga rumah di kawasan banjir dijangka mengalami penurunan mendadak memandangkan lebih ramai pembeli mulai menyedari kepentingan alam sekitar dalam menentukan keputusan pembelian hartanah.
Malah, bakal pemilik rumah juga berkemungkinan akan berdepan pembayaran premium insurans yang lebih tinggi bagi menangani kesan perubahan iklim dan bencana alam.
Ini berdasarkan kepada kajian sentimen pengguna separuh kedua 2022 yang mendapati 92% responden yang ditinjau memilih banjir sebagai kebimbangan utama mereka manakala 83% bimbang risiko tanah runtuh.
Faktor tersebut merupakan antara empat trend yang akan mempengaruhi corak pembelian hartanah pada tahun hadapan, menurut laporan Prospek Pasaran Hartanah PropertyGuru bagi 2023 yang dikeluarkan hari ini.
Laporan tersebut mendapati pasaran hartanah juga akan dirangsang oleh aktiviti pelabur asing memandangkan pengenalan Program Visa Premium (PviP) telah menarik 20,000 permohonan pada minggu pertama sejak dibuka mulai 1 Oktober 2022.
Program itu bertujuan umenarik lebih banyak pelaburan asing bagi mengukuhkan ekonomi dan memacu penciptaan pekerjaan dalam negara.
Pada masa sama, walaupun produktiviti ekonomi Malaysia bertambah baik dan pertumbuhan diunjurkan antara 4 hingga 5% pada 2023, menurut Belanjawan 2023, konflik Rusia-Ukraine dan kelembapan berterusan ekonomi China meletakkan pembeli dalam situasi kurang ideal.
Di sebalik pertumbuhan dijangka terus perlahan, harga permintaan kemungkinan tidak banyak berubah dan jurang harga antara pembeli dan penjual dijangka terus melebar.
Selain itu, laporan itu menunjukkan pertumbuhan ekonomi digital akan menyokong permintaan harga pasaran perumahan dalam tempoh jangka panjang.

Pengurus Negara Malaysia (PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my), Sheldon Fernandez berkata, pasaran hartanah Malaysia akan terus berdepan cabaran ketika ia bergerak menuju pemulihan pada 2023.
Menurutnya, ia berlaku dalam ketidakstabilan ekonomi dan politik negara yang menyebabkan penurunan keseluruhan sentimen pengguna.
"Meskipun pasaran hartanah menyaksikan penambahbaikan mantap pada 2022 dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa dan tahap produktiviti lebih tinggi, hasil laporan kami menjangkakan 2023 adalah tahun yang lebih mencabar disebabkan ketidaktentuan dasar awam, insentif kerajaan persekutuan dan prospek ekonomi.
“Disebabkan ketidaktentuan ini, adalah mencabar untuk mengeluarkan prospek perniagaan tepat tentang bagaimana situasi pasaran pada tahun baharu ini.
"Kami juga mengesan masih wujud sikap berhati-hati kerana rakyat Malaysia menunggu kemungkinan semakan semula Bajet 2023," katanya dalam kenyataan hari ini.

Indeks Harga Hartanah PropertyGuru Malaysia, yang menjejaki pergerakan harga hartanah yang disenaraikan di PropertyGuru, menyaksikan peningkatan 3.3% bermula 2021.
Namun, trend permintaan direkodkan menurun disebabkan berakhirnya Kempen Pemilikan Rumah (HOC) pada suku pertama tahun ini.
Dalam ketidakstabilan ekonomi dan politik, bajet bakal pembeli rumah terus mengecil yang menyebabkan penurunan permintaan.
Kajian Sentimen Pengguna pada separuh kedua 2022 menunjukkan rating kemampuan PropertyGuru Malaysia jatuh 7 mata daripada 62 mata pada separuh pertama kepada 56 mata pada separuh kedua 2022.
Lebih separuh daripada individu yang terlibat dalam kajian sama juga mendedahkan mereka tidak layak untuk memohon skim perumahan mampu milik kerajaan dan tidak mampu membeli rumah tanpa bantuan kewangan daripada kerajaan.
Menurut Sheldon, adalah penting untuk diingatkan yang rakyat Malaysia terus bimbang akan kemampuan pemilikan walaupun beberapa skim kerajaan seperti i-MILIKI dan Program Pemilikan Rumah Keluarga Malaysia diperkenalkan pada 2022.
"Ini menyerlahkan kesan jangka panjang dicetuskan pandemik iaitu isu ketidakstabilan yang sedang dihadapi pembeli rumah dan trend penurunan ketara keyakinan pembelian.
"Kami amat menantikan tawaran yang lebih menarik daripada pentadbiran baharu kerajaan sekiranya Bajet 2023 yang diumumkan sebelum ini disemak semula,” jelasnya. - DagangNews.com








