Bursa Malaysia sumbang RM100,000 kepada lima rumah kebajikan dalam majlis Iftar Perdana | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bursa Malaysia sumbang RM100,000 kepada lima rumah kebajikan dalam majlis Iftar Perdana

Tan Sri Abdul Wahid Omar (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada wakil penerima terpilih.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 7 April - Bursa Malaysia Berhad telah mengadakan acara tahunan Iftar Perdana, di mana sejumlah RM100,000 telah diagihkan kepada lima rumah kebajikan.

 

Penerima sumbangan tersebut adalah Pertubuhan Kebajikan Nur Syaheera Kuala Lumpur; Pusat Jagaan Penyayang Nur Iman Kuala Lumpur; Pusat Jagaan Titian Kaseh; Asrama Anak-anak Yatim Darul Taqwa; dan Madrasah Tahfiz Al-Quran Al-Islah.

 

Selain itu, tambahan agihan zakat berjumlah RM27,780 turut diserahkan kepada anak yatim daripada keluarga kakitangan Bursa Malaysia.

 

Majlis turut menyaksikan penyerahan duit raya kepada 185 kanak-kanak daripada penerima manfaat dan keluarga kakitangan Bursa Malaysia tersebut.

 

Agihan zakat dan bantuan kewangan disasarkan kepada keperluan pendidikan penerima dan akan membantu dalam perbelanjaan pendidikan tahunan mereka.

 

Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar berbesar hati majlis berbuka puasa kembali dianjurkan di samping mengedarkan bubur lambuk di premis Bursa untuk 1,200 penerima dalam acara rewang Ramadan tahunannya dengan Yayasan Bantuan Makanan.

 

 

bursa
Tan Sri Abdul Wahid Omar (tengah) menyampaikan bubur lambuk kepada penerima, disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift (kanan sekali); Chef Selebriti Zam, penasihat FAF (dua dari kanan); Pengasas bersama FAF, Dr Mohamad Faisal Ghazali (dua dari kiri); dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Bursa Malaysia, Syed Ari Azhar (kiri sekali).

 

 

“Program ini membolehkan pekerja sukarelawan, yang turut dikenali sebagai Bursa VIBE, untuk mengambil bahagian dalam program bermakna dan membuat perubahan kepada golongan miskin bandar, rumah kebajikan serta masyarakat kurang bernasib baik merentasi Lembah Klang,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut kenyataan itu, Iftar Perdana dan Rewang Ramadan adalah dua program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) anjuran bersama Yayasan Bursa Malaysia dan Surau Ar Rusydan Bursa Malaysia untuk menyokong badan amal terpilih dengan mengagihkan bantuan makanan dan kewangan, serta memberikan mereka sumbangan zakat.

 

Dalam acara Rewang Ramadan tahun ini, kemuncak majlis adalah persiapan bersama bubur lambuk yang diketuai oleh chef terkenal, Datuk Zamzani Abdul Wahab yang juga berkhidmat sebagai penasihat kepada FAF dan Chef Neoh Kean Soon.

 

Pengagihan zakat adalah sejajar dengan ikrar Bursa untuk menyumbang satu peratus daripada keuntungan selepas cukai ke arah projek komuniti yang akan mengubah dan memberi manfaat kepada masyarakat secara positif.

 

Bursa membuat pembayaran zakat pertamanya untuk tahun kewangan 2020 pada Mac 2021, menyumbang RM667,000 kepada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Kewangan Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP). -DagangNews.com