KUALA LUMPUR 25 Julai - Barisan Nasional (BN) dijangka memperoleh kerusi majoriti di Semenanjung Malaysia dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan seterusnya membentuk kerajaan.
Perkara itu didedahkan ketika sesi perbincangan yang dikendalikan Ketua Penyelidik CGS-CIMB, Ivy Ng mengenai landskap politik Malaysia pada separuh kedua ini yang menampilkan Pengasas Bersama Merdeka Center, Ibrahim Suffian sempena Hari Korporat kali ke-2 yang dianjurkannya baru-baru ini
Beliau juga berkata, sekiranya pemilihan parti UMNO berlaku selepas PRU-15, maka tempoh pertama yang berpotensi mengadakan pilihan raya umum ialah antara November dan Disember 2022.
"Jika tidak, ia kemungkinan bagi tempoh kedua pada akhir Februari 2023 sehingga sebelum Ramadan (bermula 22 April 2023) manakala tempoh ketiga pula adalah antara Jun dan Julai 2023," katanya dalam sesi berkenaan.
Mengenai hasil pilihan raya pula, senario pertama dan kemungkinan besar ialah status quo akan dikekalkan, dan tiga parti gabungan dan parti bebas lain iaitu BN, Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional akan bertanding sesama sendiri pada PRU-15.
"Di bawah senario ini, beliau menjangkakan BN memperoleh majoriti kerusi di Semenanjung Malaysia dan berpotensi membentuk kerajaan dengan Parti Perikatan Sarawak," tambahnya.
Menurut CGS-CIMB, Ibrahim turut menawarkan 4 perkara yang wajar dilihat pada separuh kedua ini terutamanya kestabilan intra UMNO, pertumbuhan ekonomi, penjajaran ekonomi dan kadar jangkitan COVID-19.
CGS-CIMB menjadi tuan rumah kepada 320 pelabur institusi sempena Hari Korporat secara maya yang diadakan 19 Julai lalu.
Ia menyaksikan penyertaan pelbagai pakar dalam bidang ekonomi, pengguna dan politik serta lima syarikat korporat (Yinson Holdings Bhd, Telekom Malaysia Bhd, Petronas Chemicals Group Bhd, IOI Corp Bhd dan Malaysia Airports Holdings Bhd) yang berkongsi pandangan mereka mengenai isu-isu semasa dan prospek bagi separuh kedua 2022.

Sementara itu, dalam sesi perbincangan mengenai prospek ekonomi separuh kedua 2022 yang dikendalikan Ketua Penyelidik Ekonomi CGS-CIMB, Ahmad Nazmi Idrus bersama Pengarah Eksekutif SERC, Lee Heng Guie, beliau menjangkakan ekonomi Malaysia akan berkembang 5.2% tahun ini sebelum menyederhana kepada 4.1% pada 2023.
Menurutnya, risiko kemelesetan global dan Amerika Syarikat (AS) dilihat semakin meningkat pada 2023 dan jika ia berlaku, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan kembali menguncup dalam tempoh 6 hingga 8 bulan.
"Beliau juga meramalkan Rizab Persekutuan AS akan kekal 'hawkish' (cenderung menaikkan kadar faedah) dengan lebih lama, dengan kadar akan dinaikkan sehingga 4% pada separuh pertama 2023.
"Kadar dasar semalaman (OPR) juga dijangka mencapai 3.50% pada akhir tahun ini manakala 3% pula pada akhir 2023," jelasnya.
Dari segi penggunaan, firma itu berkata, beliau melihat pertumbuhan yang lemah pada separuh kedua di tengah-tengah sokongan dasar yang semakin berkurangan, kelesuan permintaan yang terpendam dan penyambungan semula komitmen perbelanjaan (iaitu caruman KWSP yang lebih tinggi dan kadar gadai janji yang meningkat).
"Malah, pasaran buruh yang ketat mungkin berterusan memandangkan aliran masuk pekerja asing yang terhad berbanding keperluan negara," katanya. - DagangNews.com








