YTL Hospitality REIT dilihat terus berdepan prospek suram sepanjang FY22 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

YTL Hospitality REIT dilihat terus berdepan prospek suram sepanjang FY22

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 21 April - AmInvestment Bank Research menyemak turun penilaian saham YTL Hospitality REIT kepada 'pegang' berbanding 'beli' sebelum ini dengan nilai wajar (FV) lebih rendah pada RM1.01 daripada RM1.05 sesaham. 

 

Perubahan itu dibuat setelah firma itu menukar kaedah penilaian kepada model diskaun dividen (DDM) memandangkan ia berupaya menggambarkan dengan lebih baik prospek jangka sederhana hingga panjang syarikat yang mengagihkan sekurang-kurangnya 90% daripada pendapatannya kepada pemegang unit sebagai dividen.

 

Dalam nota kajian hari ini, firma tersebut mengurangkan unjuran pendapatan boleh agih sebanyak 4% bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 (FY22) selepas mengambil kira kadar purata harian (ADR) dan kadar penghunian yang lebih rendah bagi aset kumpulan di Australia.

 

Ini turut menyaksikan unjuran pendapatan bagi FY23 juga dikurangkan sebanyak 8% diikuti 10% bagi FY24.

 

"Di Australia, pendapatan sewa yang dijamin untuk hotel YTL REIT akan dihentikan dengan tamatnya program pengasingan COVID-19 yang dilaksanakan kerajaan. 

 

"Secara dasarnya, portfolio Australia menyumbang 51% daripada jumlah hasil kasar kumpulan pada suku kedua FY22," katanya.

 

Semasa pandemik, YTL REIT telah menandatangani kontrak kuarantin dengan kerajaan daerah masing-masing untuk menyediakan penginapan pengasingan kepada pelancong yang tiba di Australia.

 

Menerusi perjanjian ini, kadar penghunian sebanyak 70% telah terjamin dengan tawaran kadar sewaan harian yang lebih tinggi sedikit. 

 

Menurut AmInvestment, pendapatan YTL REIT dijangka kekal lemah sepanjang FY22 disebabkan pengurangan sewa yang akan berakhir pada 30 Jun 2022.

 

"Bagaimanapun, mulai FY23 dan seterusnya, kami menjangkakan pendapatan sewa akan meningkat kerana penyewa perlu membayar balik penangguhan secara berperingkat," jelasnya.

 

Firma itu berkata, dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa pada 1 April lalu dan tiada sekatan pergerakan, kemungkinan sebarang lanjutan penangguhan penyewaan kepada penyewa di Malaysia akan menjadi rendah.

 

Namun, ia kekal berhati-hati terhadap propek pemulihan kumpulan di Jepun memandangkan pelancong masih belum dibenarkan memasuki negara tersebut.

 

Ketibaan pelancong di Jepun pada Februari 2022 hanya merangkumi 0.64% daripada paras sebelum pandemik COVID-19.

 

"Begitu juga, kami bimbang dengan prestasi portfolio kumpulan di Australia pada suku akan datang. 

 

"Ini disebabkan peralihan daripada pendapatan sewa terjamin yang diperoleh daripada kontrak kuarantin yang dilaksanakan dengan kerajaan daerah kepada hasil berasaskan pelancongan," katanya.

 

Meskipun sempadan antarabangsa Australia telah dibuka semula, firma itu tidak menjangkakan pemulihan yang ketara dalam tempoh terdekat memandangkan pelancong yang memasuki negara itu perlu mengambil ujian antigen pantas COVID-19 dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan dan kebimbangan kemunculan penularan sub-varian Omicron, XE.

 

Setakat 10.14 pagi ini, harga sahamnya susut 0.5 sen atau 0.53% kepada 93.5 sen dengan 104,700 saham diniagakan. - DagangNews.com