KUALA LUMPUR 7 April - YNH Property Berhad (YNH) bakal melancarkan 2,200 unit pembangunan perbandaran bercampur di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan berjumlah RM600 juta.
Pengumuman tersebut dibuat selepas kumpulan itu memperoleh arahan pembangunan daripada Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) baru-baru ini.
Perbandaran itu, yang terletak kira-kira 40 kilometer dari ibu kota negeri Seremban, dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi bagi kawasan tersebut, di samping memenuhi permintaan kukuh rumah berkualiti dan mampu milik.
Pengurus Besar YNH, James Ngio berkata projek yang diterima daripada MDKP itu menandakan kemasukan kumpulan itu ke Negeri Sembilan, sebuah wilayah pertumbuhan tinggi di Koridor Selatan Greater Kuala Lumpur.
"Kami berharap dapat membawa kepakaran yang terbukti serta rekod prestasi kukuh dalam pembangunan perbandaran ke Negeri Sembilan ini dan kami yakin perbandaran baharu ini akan menyumbang ke arah pertumbuhan sosio-ekonomi yang positif,” tambahnya dalam satu kenyataan hari ini.
YNH mempunyai rekod prestasi untuk 13,000 unit pembangunan bercampur di perbandaran Seri Manjung, Perak sejak 1982 yang telah menarik sejumlah besar kepentingan kediaman, runcit dan komersial serta merangsang aktiviti pelancongan di kawasan itu.
“Pembangunan perbandaran Kuala Pilah dijangka menyumbang secara positif kepada prestasi kumpulan dalam tempoh lima tahun akan datang.
Projek ini juga akan mengukuhkan reputasi kami sebagai pemaju pilihan untuk perbandaran yang berjaya,” ujar beliau.
YNH mendedahkan bahawa pelan induk projek, yang sedang dimuktamadkan, akan memberi tumpuan kepada kemampanan, merangkumi konsep ‘Live, Work, Play’, di mana hak milik individu bagi projek tersebut juga telah diperolehi daripada Pejabat Tanah Kuala Pilah.
Fasa 1 projek itu, yang terdiri daripada 500 unit kediaman, dijangka dilancarkan pada suku kedua tahun ini.
Projek tersebut terletak berdekatan dengan bandar Kuala Pilah dan bandar Bahau iaitu perbandaran baharu oleh YNH yang akan mendapat akses kepada kemudahan sedia ada seperti pasar raya besar Lotus dan Giant, hospital, restoran, bank dan banyak lagi. -DagangNews.com








