KUALA LUMPUR 25 Julai - Kenanga Research mengekalkan pandangan 'outperform' terhadap Kimlun Corp. Bhd. dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.
Menurut firma itu, kumpulan dijangka menyaksikan hasil yang lebih baik pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 berbanding kerugian yang direkodkan pada suku sebelumnya.
Selain itu, katanya, terdapat banyak penambahbaikan ketara pada separuh kedua terutamanya beberapa projek utama seperti Sabah-Sarawak Link Road bernilai RM780 juta dan kerajaan pula dijangka mempercepatkan pelancaran projek awam menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
"Kimlun juga kekal yakin dapat memenuhi penambahan sasaran nilai kontraknya antara RM600 hingga RM800 juta (termasuk kontrak pembuatan baharu bernilai RM100 hingga RM120 juta).
"Kami juga melihat kumpulan berada dalam kedudukan yang baik untuk memperoleh sebahagian kontrak dalam projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru–Singapura, iaitu pembekalan segmen konkrit pratuang, memandangkan jarak kilangnya di Ulu Choh, Johor," katanya dalam nota kajian hari ini.
Ini membolehkan Kenanga Research mengekalkan unjuran tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) dan penambahan nilai kontrak sebanyak RM800 juta.
Setakat akhir Mac 2022, nilai kontrak dalam tangan berjumlah RM2.01 bilion terdiri daripada pembinaan, RM1.63 bilion manakala pratuang, RM380 juta.
Bagaimanapun, firma itu menyukai Kimlun berdasarkan kepada sentimennya yang positif terhadap saham pembinaan memandangkan kerajaan dijangka mempercepatkan pelancaran projek menjelang PRU-15.
"Selain itu, ia juga mempunyai kepelbagaian hasil dengan kedudukan yang kukuh dalam segmen produk pratuang di Singapura, selain nilai kontrak sebanyak RM2 bilion yang akan menjadikannya sibuk dalam tempoh 2 tahun akan datang," jelasnya.
Setakat 12.14 tengah hari ini, harga saham Kimlun kekal tidak berubah pada 68 sen dengan 36,300 saham diniagakan. - DagangNews.com








