Xendit tembusi pasaran Malaysia untuk tawar penyelesaian pembayaran digital perniagaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Xendit tembusi pasaran Malaysia untuk tawar penyelesaian pembayaran digital perniagaan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 11 Jan - Syarikat fintech terkemuka, Xendit secara rasmi memasuki pasaran Malaysia untuk menawarkan rangkaian penyelesaian pembayaran 'hiperlokal' yang pelbagai kepada perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat baharu kepada syarikat gergasi.

 

Kemasukan pasaran Malaysia berikutan pengumuman pelaburan dalam Xendit pada 2021 oleh Penjana Kapital melalui program Dana Penjana Nasional. 

 

Xendit sejajar dengan misi kerajaan Malaysia untuk mempercepatkan pertumbuhan 'unicorn' melalui penyelesaian pembayaran digital yang holistik, setempat dan meluas.

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Xendit, Moses Lo berkata, pihaknya berbangga kerana membawa infrastruktur dan ekosistem pembayaran ke pasaran Malaysia.

 

Beliau berkata, ia meningkatkan trajektori pertumbuhan syarikat baharu tempatan yang selamat dan mudah untuk mengintegrasikan sistem pembayaran. 

 

"Kami berharap dapat bekerjasama dengan pasaran tempatan menambah nilai melalui produk bertaraf dunia dan pengalaman serantau kami untuk memacu agenda nasional ini secara kolektif," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Sebagai langkah strategik pertamanya, Xendit mengumumkan pelaburan dalam pemain fintech tempatan, Payex yang merupakan penyedia gerbang pembayaran berlesen Bank Negara Malaysia. 

 

 

xendit

 

 

xendit
                                     Moses Lo

 

Kerjasama itu akan menyaksikan Xendit membawa kepakaran globalnya untuk bersinergi dengan pengetahuan tempatan Payex yang memacu pemerolehan pedagang dan pengembangan tempatan.

 

Xendit percaya ia meningkatkan lagi keupayaannya untuk memperkasakan perniagaan tempatan untuk berkembang di serantau. 

 

 

xendit

 

 

Ia sekaligus manfaatkan infrastruktur pembayaran bersepadu Xendit yang membolehkan perniagaan memasuki pasaran Indonesia, Filipina, Thai, Vietnam, Malaysia dan Asia Tenggara yang lain dengan lancar.

 

Xendit juga menawarkan infrastruktur pembayaran sehenti yang membolehkan perniagaan meningkat dengan pantas, termasuk penyelesaian pembayaran teras yang menerima pembayaran daripada akaun maya, kad kredit dan debit, e-dompet, kedai runcit serta debit langsung. 

 

Xendit juga menawarkan kemudahan yang membolehkan pengeluaran dana kepada bank, e-dompet dan kad 24/7. - DagangNews.com