Wellspire bermula kukuh di Bursa Malaysia dengan premium 43.5% pada 33 sen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Wellspire bermula kukuh di Bursa Malaysia dengan premium 43.5% pada 33 sen

KUALA LUMPUR 16 Jan - Wellspire Holdings Bhd. memulakan penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia dengan kukuh pada 33 sen, mewakili premium 43.5% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 23 sen sesaham. 

 

Pada pembukaan dagangan, syarikat pengedar makanan pembungkusan di Thailand itu menyaksikan 12.58 juta saham diniagakan.

 

IPO kumpulan itu terdiri daripada terbitan awam sebanyak 124.6 juta saham biasa baharu, di mana 36 juta saham disediakan untuk permohonan orang ramai manakala 10 juta saham diketepikan untuk pengarah dan pekerja kumpulan yang layak.

 

Wellspire menyasarkan untuk menjana RM28.66 juta daripada penyenaraiannya dengan sebanyak RM16 juta atau 55.83% akan diperuntukkan untuk melaksanakan pemerolehan/pembinaan gudang dan kemudahan operasi di Thailand.

 

Sebanyak RM5.96 juta atau 20.79% akan diperuntukkan untuk untuk modal kerja, manakala baki RM6.7 juta (23.38%) akan digunakan untuk perbelanjaan penyenaraian.

 

Tumpuan utama kumpulan adalah kekal dalam mengembangkan rangkaian pengedaran makanan snek berbungkus pengguna yang sudah mantap kepada rangkaian kedai runcit besar, selain mengembangkan rangkaian unit simpanan stok (SKU).

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutifnya, Mo Guopiao berkata, walaupun semua hasil kumpulan diperoleh dari Thailand, ia telah memilih untuk menyenaraikan Wellspire di Malaysia.

 

"Kejayaan penyenaraian di Bursa Malaysia sememangnya menandakan permulaan lembaran baharu dan menarik bagi kami, sambil kami terus membina asas kukuh dan trajektori pertumbuhan masa depan kumpulan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Wellspire Group adalah pengedar makanan berbungkus pengguna di Thailand yang memberi fokus kepada makanan ringan.

 

Produk utamanya ialah biji bunga matahari, dengan menjadi pengedar eksklusif biji dan kacang bunga matahari jenama ChaCha untuk pasaran Thailand.

 

Kumpulan itu juga mengedarkan makanan ringan lain seperti biji dan kekacang lain serta produk bakar dan biskut yang terdiri daripada jenama pihak ketiga serta jenama sendiri. - DagangNews.com