KUALA LUMPUR 18 Julai - WCT Malls Management Sdn Bhd menjalin kerjasama tiga pihak bersama Tourism Malaysia dan Visa untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang menarik terutamanya dalam kalangan pelancong, di kala negara beralih ke fasa endemik.
Melalui perjanjian yang bertujuan untuk meningkatkan pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negara berikutan wabak pandemik selama dua tahun ini, ketiga-tiga organisasi tersebut telah melancarkan beberapa siri kempen bertemakan #SHOPPINGEXTRAVAGANZA.
Kempen tersebut juga akan dilancarkan di seluruh WCT Malls iaitu Paradigm Mall PJ, Paradigm Mall JB, gateway@klia2 dan SkyPark Terminal bagi memberi peluang kepada pembeli untuk menikmati ganjaran menarik.
Memandangkan negara sedang beralih ke arah normaliti setelah pandemik, masyarakat kini menantikan lebih banyak aktiviti menarik dan mengujakan. Disebabkan itu, ia penting bagi perniagaan runcit mengadakan lebih banyak aktiviti yang mampu menarik para pengunjung sambil menyesuaikan diri dengan norma baharu.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Zainuddin Abdul Wahab berkata, mereka berbesar hati meraikan jalinan kerjasama dengan Visa dan WCT Malls.
"Dengan tawaran dan promosi menarik daripada WCT Malls dan Visa, kami berharap agar kempen ini mampu untuk merangsang perbelanjaan pelancong terutamanya dalam segmen beli-belah sejurus menyumbang kepada pertumbuhan industri pelancongan negara yang menarik.
“Saya percaya kempen ini dapat menawarkan pengalaman beli-belah lebih mengujakan buat para pelancong antarabangsa dan domestik kami, terutamanya dari negara-negara jiran serta rantau ASEAN, yang kekal menjadi penyumbang terbesar kepada kedatangan pelancong antarabangsa ke Malaysia walaupun semasa pandemik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan WCT Malls, Selena Chua berkata, mereka komited untuk menyediakan pengalaman terbaik kepada pelanggan dalam meraikan saat yang ditunggu-tunggu ini memandangkan keadaan sudah kembali pulih.
"WCT Malls juga yakin bahawa perkongsian tiga pihak dengan Visa dan Tourism Malaysia akan membantu meningkatkan lagi kedudukan pusat membeli-belah kami serta menggalakkan perbelanjaan dalam kalangan pembeli dan pengembara antarabangsa.
"Kami percaya bahawa kerjasama ini akan menjadi satu usaha yang berbaloi dalam meraikan detik ini. Pada masa akan datang, para pelanggan boleh menjangkakan lebih banyak kempen dan acara yang menarik daripada WCT Malls," katanya.


Pengurus Negara Visa Malaysia, Ng Kong Boon pula berkata, kerjasama tiga pihak dengan Tourism Malaysia dan WCT Malls ini adalah amat tepat pada waktunya, terutamanya apabila perjalanan telah dibenarkan semula, yang mana pihaknya teruja untuk menyambut kedatangan lebih ramai pelancong ke Malaysia.
“Berdasarkan data Visa, koridor perbelanjaan utama Malaysia adalah Singapura, Amerika Syarikat, United Kingdom, Thailand, Indonesia dan Australia. Tinjauan kami turut menunjukkan bahawa 76% responden menekankan tentang peluang menikmati makananan dan budaya tempatan sebagai motivasi utama mereka untuk mengembara dan ini termasuk membeli-belah," katanya. - DagangNews.com








