Vinda SEA labur lebih RM600 juta bangunkan hab serantau baharu di Klang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Vinda SEA labur lebih RM600 juta bangunkan hab serantau baharu di Klang

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 16 Dis - Vinda Asia Tenggara (Vinda SEA) melancarkan hab serantaunya yang baharu, bertempat di Bandar Bukit Raja, Klang, Selangor dengan pelaburan bernilai lebih RM600 juta.

 

Fasiliti mega serba canggih itu dibangunkan di tapak seluas 30 ekar, merangkumi kilang pembuatan dua tingkat yang menempatkan gudang bahan mentah, gudang barangan siap diautomasi, pusat pengedaran, Pusat Inovasi Vinda dan blok pentadbiran enam tingkat.

 

Presiden Vinda Group Asia Tenggara, Su Ting Nee berkata, pelaburan lebih setengah bilion ringgit untuk menubuhkan Hab Serantau Vinda SEA itu menjadi mercu tanda komitmen Vinda kepada Malaysia dan negeri Selangor. 

 

Beliau berkata, dengan Hab Serantau Vinda SEA baharu ini, mereka juga menjangkakan kapasiti pengeluaran bakal meningkat sebanyak 20%. 

 

"Di masa akan datang, kami juga akan membangunkan sebuah lagi tapak seluas 20 ekar. Selain itu, pembangunan bakat tempatan adalah diutamakan, dan fasiliti baharu ini kini menempatkan lebih 1,400 kakitangan terdiri daripada 99% komuniti tempatan. 

 

"Justeru, kami mencipta lebih banyak lagi peluang pekerjaan dan punca pendapatan di Malaysia, di samping membawa produk yang lebih bermutu ke benua Asia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pembangunan ini juga membantu menjadikan Vinda Group lebih berdaya saing di peringkat global, dengan menggunakan teknologi termaju dan terkini yang menampilkan automasi berskala besar dan kecerdasan buatan (AI).

 

 

vinda

 

 

vinda

 

 

Hab Selangor ini didedikasikan untuk lebih 25 pasaran dan menggunakan konsep Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0). Ia meningkatkan keberkesanan pada setiap peringkat rantaian bekalan serta meningkatkan kecekapan, dan pada masa yang sama mengurangkan kos pengeluaran.

 

Tambahan pula, Vinda SEA akan banyak melabur dalam latihan untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja dan pembekalnya demi memenuhi keperluan teknologi baharu. 

 

 

vinda

 

 

Dengan lebih ramai lagi tenaga kerja mahir, dalam jangka panjang ia akan memberi manfaat merentasi ekosistem industri FMCG di Malaysia, khususnya dalam sektor produk kebersihan diri.

 

Vinda juga telah lama berpegang teguh pada komitmen untuk kemampanan dan komited untuk melaksanakan amalan terbaik alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk semua rakan kongsi dan hasil keluaran setiap produk kami kepada pengguna.

 

Tapak seluas 30 ekar itu telah menggabungkan ciri-ciri hijau dan mesra ekologi, dengan kesan alam sekitar dan jejak karbon yang minimum. Vinda SEA juga telah berikrar untuk menjadi sifar karbon menjelang 2025. - DagangNews.com