Vincent Tan perlu 'pam' berpuluh bilion semata-mata dapatkan hak kandungan, kata CGS-CIMB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Vincent Tan perlu 'pam' berpuluh bilion semata-mata dapatkan hak kandungan, kata CGS-CIMB

Gambar hiasan
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 4 Jan - Kemunculan kandungan televisyen berbayar di Malaysia yang dibawakan Ansat Broadcast, milik hartawan Tan Sri Vincent Tan dengan kerjasama MNC Vision Networks (IPTV) bukan satu 'ancaman' kepada Astro Malaysia Holdings Bhd. memandangkan perniagaan penyiaran satelit dilihat sudah tidak relevan. 

 

Malah, penganalisis CGS-CIMB Research, Kamarul Anwar berpendapat kedatangan siaran televisyen itu juga tidak membantu menaikkan industri media di negara ini, yang didominasi masalah cetak rompak.

 

"Kami terkejut mengapa Ansat Broadcast bertekad untuk memasuki perniagaan penyiaran satelit pada 2023, sebuah medium yang sudah lapuk, malah akan dihentikan oleh Astro.

 

"Melainkan Vincent Tan dan MNC Vision sanggup mengepam berpuluh bilion ringgit ke dalam Ansat Broadcast, jadi, akan ada sedikit modal untuk mendapatkan hak kandungan yang pelbagai untuk menarik perhatian rakyat Malaysia," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Pada 21 Disember lalu, MNC Vision menjalin kerjasama dengan konglomerat multinasional Indonesia, MNC Group untuk menjalankan perniagaan televisyen berasaskan pelanggan dan perkhidmatan pengedaran kandungan.

 

Ansat Broadcast dilesenkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam penyediaan perkhidmatan aplikasi kandungan termasuk penyiaran langganan dan penyiaran televisyen bukan berasaskan langganan.

 

IPTV, sebahagian daripada konglomerat multinasional Indonesia MC Group, ialah penyedia perkhidmatan penyiaran dan penyedia kandungan terkemuka di Indonesia.

 

Menurut Kamarul Anwar, jika Ansat Broadcast berhasrat untuk 'merampas' bahagian pasaran daripada Astro, ia perlu membelanjakan hingga RM1 bilion setahun untuk mengambil beberapa kandungan eksklusif yang ditawarkan kepada pelanggannya.

 

"Dengan semua pelaburan dalam infrastruktur satelit dan membina bahagian pasaran, Astro mengambil masa tujuh tahun sejak ia bermula pada Oktober 1996 untuk mencatat keuntungan, dan ketika prapenstriman, apabila cetak rompak masih tidak dapat diakses," jelasnya.

 

Beliau berkata, sekiranya Ansat Broadcast mahu memikat penonton Indonesia di Malaysia, perlu diketahui bahawa segmen pasaran ini tidak bergantung sepenuhnya kepada Astro.

 

"Kebanyakan daripada mereka, mengikut pemahaman kami, lebih suka perkhidmatan prabayar Astro NJOI berbanding perkhidmatan TV berbayar premium, dan tidak ramai pengguna NJOI membeli kredit prabayar mereka secara konsisten setiap bulan," katanya.

 

Mengambil kira faktor-faktor berkenaan, CGS-CIMB mengulangi saranan 'tambah' terhadap Astro dengan harga sasaran pada 88 sen sesaham. 

 

Setakat 9.29 pagi ini, harga saham Astro susut 0.5 sen atau 0.78% kepada 64 sen dengan 118,800 saham diniagakan. - DagangNews.com