PULAU PANGKOR 5 Jan - Universiti Teknologi Petronas (UTP) mengetuai inisiatif projek mewujudkan persekitaran pantai yang lestari di Teluk Nipah di sini bagi mengawal hakisan ombak.
Projek sejak empat tahun lalu ini dilaksanakan menerusi kerjasama dengan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah Manjung.
Berdasarkan kajian dibuat, hakisan yang berlaku di Pantai Teluk Nipah semakin serius sejak 2017 dan dibimbangi memberi kesan kepada persekitaran termasuk pelancongan.
Ketua projek yang juga pensyarah UTP, Dr Teh Hee Min berkata, kesan hakisan di lokasi peranginan tersebut sekiranya tidak dikawal boleh menjejaskan kelestarian semulajadi.
Katanya, kawasan tepi pantai itu yang dipenuhi gerai-gerai penjaja adalah tidak sesuai kerana terdedah pada risiko sekiranya berlaku perkara tidak diingini disebabkan hakisan.
"Kawasan pesisir pantai Teluk Nipah dikesan terhakis sehingga tiga meter setahun akibat hakisan ombak secara berterusan.
"Justeru, langkah pengawalan hakisan di pantai itu perlu dilakukan segera sebelum ia merugikan semua pihak selain kepentingan lokasi ini sebagai tarikan pelancong di Pulau Pangkor," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan tinjauan di Pantai Teluk Nipah dan Coral Beach, semalam.
Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan UTP, Prof Madya Dr Noor Amila Wan Abdullah Zawawi berkata, projek berkenaan dilakukan sebagai tanggungjawab sosial korporat universiti kepada kelestarian persekitaran.
Menurut beliau, ini kerana penglibatan UTP adalah bagi memberikan penyelesaian kejuruteraan untuk mengatasi isu hakisan pantai.

"Kawasan pantai merupakan tempat masyarakat setempat mencari rezeki yang mana matlamat kita adalah untuk pemuliharaan persekitaran pantai.
"Input yang diberikan ini telah membantu pihak JPS dan MPM seterusnya membolehkan pihak berkuasa melaksanakan tindakan yang sewajarnya," ujar beliau. - DagangNews.com








