UPM sumbang lebih RM30,000 kepada mangsa gempa bumi di Turkiye, Syria | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UPM sumbang lebih RM30,000 kepada mangsa gempa bumi di Turkiye, Syria

Prof Datuk Dr Mohd Roslan Sulaiman (dua, kiri) menyampaikan mock cek sumbangan kepada Emir Salim Yuksel (dua, kanan) di Pejabat Naib Canselor, Bangunan Canselori Putra, UPM pada 23 Mac 2023.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 24 Mac - Prihatin dengan kejadian gempa bumi yang melanda Turkiye dan Syria pada Februari lepas, Universiti Putra Malaysia (UPM) menyalurkan bantuan berjumlah RM32,768 kepada Turkiye dan Syria sempena hari pertama umat Islam di negara ini menjalani ibadah berpuasa, semalam.

 

Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Mohd Roslan Sulaiman berkata, jumlah bantuan tersebut ialah hasil kutipan bersama warga UPM termasuklah staf dan pelajar yang menyumbang melalui Tabung UPM Prihatin@WAZAN bermula 8 sehingga 28 Februari 2023.

 

Katanya, sehingga kini beliau masih bersimpati dengan bencana gempa bumi dan keadaan yang berlaku di sana berikutan jumlah terkorban melepasi 47,000 penduduk bahkan kerosakan infrastruktur di sana menelan kerugian berbilion ringgit. 

 

“Ketika kejadian, setiap hari laporan jumlah mangsa yang terkorban sentiasa meningkat termasuklah kemusnahan sebahagian besar bandar di kawasan yang terlibat. 

 

"Terima kasih saya ucapkan kepada semua warga UPM dan penyumbang yang bermurah hati menghulurkan bantuan menerusi kutipan daripada Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) UPM.

 

“Semoga sumbangan ini dapat membantu meringankan beban penduduk yang terlibat di sana termasuklah pelarian Syria yang tinggal di walayah Gaziantep dan Ekinozu, Turkiye dan kita akan terus menjaga hubungan persahabatan yang baik dengan Turkiye dan Syria,” katanya dalam kenyataan.

 

Beliau juga berharap agar rakyat Malaysia serta warga UPM mendoakan tiada lagi gempa yang lebih teruk akan berlaku di sana. 

 

Penyaluran sumbangan kewangan itu disampaikan oleh Mohd Roslan kepada Duta Besar Turkiye di Malaysia, Emir Salim Yuksel di Pejabat Naib Canselor, Bangunan Canselori Putra UPM, Serdang, Selangor. - DagangNews.com