UPM muncul juara keseluruhan Sukan Staf Universiti Awam Malaysia (SUKUM) Kali ke-44 | DagangNews Skip to main content

UPM muncul juara keseluruhan Sukan Staf Universiti Awam Malaysia (SUKUM) Kali ke-44

Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman menyampaikan piala kejohanan SUKUM 2022 kepada Timbalan Pengarah Akademi Sukan, UPM, Muhamad Malik Tobias pada SUKUM ke- 44 Tahun 2022.

SERDANG 25 Sept - Universiti Putra Malaysia (UPM) dinobat sebagai johan keseluruhan Kejohanan Sukan Staf Universiti Awam Malaysia (SUKUM) Kali ke-44 Tahun 2022.


 

UPM

 


Kejuaraan itu diraih selepas UPM berjaya memungut 18 emas, 19 perak dan 15 gangsa.

 

Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata beliau berbangga dengan pencapaian staf atlet UPM yang berjaya melayakkan UPM menjadi juara keseluruhan SUKUM 2022.


 

Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman
                                 Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman

 


“Ini kali pertamanya UPM berjaya menjadi juara dan saya berterima kasih kepada seluruh warga UPM terutamanya staf atlet UPM dan sukarelawan yang membantu dalam menjayakan penganjuran SUKUM di sini,” katanya yang ditemui selepas Majlis Penutup SUKUM ke 44.

 

Tambah beliau, penganjuran SUKUM adalah sebagai wadah untuk merapatkan hubungan dan kekeluargaan sesama institusi pengajian tinggi dalam negara melalui sukan serta mengangkat budaya sukan di institusi masing-masing.

 

“Saya percaya melalui acara sukan seperti SUKUM dapat meningkatkan lagi daya tahan mental dan fizikal sumber manusia selain berupaya meningkatkan indeks kesejahteraan dalam kalangan staf,” katanya.


 

UPM

 

UPM


 


Sementara itu, tempat kedua disandang oleh Univerisiti Malaysia Perlis dengan 17 emas, 15 perak dan 19 gangsa.

 

SUKUM yang berlangsung selama lapan hari itu mempertandingkan sebanyak 18 acara sukan dan menawarkan sebanyak 136 pingat emas, 136 pingat perak dan 196 pingat gangsa. Selain itu, seramai 400 sukarelawan turut terlibat pada SUKUM 2022. - DagangNews.com

 

BACA JUGA : Pelari UTM pintas bekas pelari pecut negara Nazmizan Muhamad di temasya SUKUM ke-44