KUALA LUMPUR 21 Julai - UOB Malaysia bersedia mempermudahkan lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) ke Sarawak sejajar dengan usaha syarikat-syarikat antarabangsa mencari peluang melabur dalam sektor-sektor bernilai tinggi di negeri itu.
Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, Sarawak adalah antara lima destinasi pelaburan utama Malaysia dan komitmen kerajaan negeri untuk mewujudkan persekitaran paling sesuai untuk pelaburan melalui polisi dan inisiatif yang mesra perniagaan menjadikannya destinasi pelaburan menarik.
Katanya, sumber semula jadi negeri dan tenaga boleh diperbaharui (RE) juga merupakan tarikan besar kepada pelabur tempatan dan asing.
"Di samping itu, kami menjangkakan kemasukan Malaysia ke dalam perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) akan membuka pintu kepada lebih banyak peluang untuk syarikat melabur dan berdagang dengan perniagaan di Sarawak.
"Melangkah ke hadapan, kami akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menyokong wawasan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg dalam mengutamakan pembangunan tenaga hijau dalam usaha menarik pelabur asing yang ingin memajukan perniagaan mereka secara mampan," katanya dalam kenyataan hari ini.
UOB Malaysia menjangkakan lebih banyak syarikat multinasional, terutamanya industri pembuatan, perdagangan, teknologi, makanan dan pertanian, akan melabur dalam sektor RE, teknologi digital, ekopelancongan dan agroteknologi Sarawak.
Syarikat-syarikat itu, terutamanya dari China, Korea, Jepun dan yang berpangkalan di Singapura, berminat untuk memanfaatkan infrastruktur pembuatan dan RE di Sarawak yang menjimatkan kos sebagai sebahagian daripada pengembangan mereka di Asia Tenggara.
Dalam usaha menghubungkan pelanggannya kepada peluang perniagaan di Sarawak, UOB Malaysia telah bekerjasama dengan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Singapura (STATOS) dan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) untuk menganjurkan misi pelaburan dan perdagangan ke negeri tersebut.
Lebih 50 eksekutif tertinggi dari pelbagai sektor perniagaan Singapura, seperti tenaga, elektronik, pembuatan, perdagangan, pertanian dan pendidikan, mengambil bahagian dalam misi perdagangan empat hari ini.
UOB adalah bank pertama di Asia Tenggara untuk menubuhkan pasukan Penasihat FDI yang khusus. Ditubuhkan pada 2011, terdapat 10 pusat FDI khusus di seluruh Asia, termasuk Malaysia.
Unit Penasihat FDI khusus ini membantu syarikat asing yang ingin melabur dan mengembangkan perniagaan mereka di ASEAN.
Ini termasuk perkhidmatan dan nasihat mengenai pemerbadanan syarikat, kemasukan pasaran dan rangkaian penyelesaian perbankan yang menyeluruh. - DagangNews.com








