KUALA LUMPUR 17 Feb - Untung bersih Sime Darby Plantation Bhd bagi suku keempat (Q4) berakhir 31 Disember 2022 (4QFY22) meningkat 20% kepada RM562 juta daripada RM467 juta bagi tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
Menurut Sime Darby Plantation, untung bersih suku tersebut meningkat walaupun pengeluaran buah tandan segar (BTS) dan harga minyak sawit mentah masing-masing menyusut 2% dan 4% berbanding tempoh yang sama tahun kewangan 2021.
“Dalam tempoh tersebut, Sime Darby Oils (SDO) turut dipengaruhi oleh volum jualan keseluruhan dan margin yang rendah dalam operasi Eropahnya,” katanya.
Bagaimanapun, pendapatan syarikat perladangan itu pada suku keempat meningkat hanya 2% kepada RM5.67 bilion berbanding RM5.55 bilion.
Syarikat perladangan gergasi itu turut mengumumkan dividen sebanyak 6.04 sen sesaham yang akan dibayar kepada pemegang saham pada 15 Mei 2023, menjadikan pembayaran setahun penuh kepada 33 sen sesaham.
Keuntungan bersih bagi tahun kewangan 2022 (FY22) juga meningkat 10% kepada RM2.49 juta daripada RM2.26 juta.
Pendapatan tahunan juga meningkat 12.49% kepada RM2.103 bilion daripada RM1.87 bilion pada tahun sebelumnya.
“Prestasi operasi hiliran, SDO, mengukuhkan keuntungan tersebut yang merekodkan keuntungan sebelum kadar faedah dan cukai sebanyak RM859 juta atau 61% lebih tinggi daripada tahun sebelumnya,” kata kumpulan itu di dalam kenyataan hari ini.
Harga purata minyak sawit mentah meningkat 20% berbanding tahun sebelumnya mengurangkan kesan BTS yang menyusut 10% khususnya di Malaysia, namun, diimbangi oleh pengeluaran yang lebih baik oleh operasinya di Indonesia, Papua New Guinea dan Kepulauan Solomon.
Pengarah Urusan Kumpulan, Mohamad Helmy Othman Basha optimis dengan pertumbuhan syarikat pada tahun ini berikutan kebenaran telah diberikan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP AS) untuk menyambung semula aktiviti eksport.

“Kami telah melancarkan pelan hala tuju Net Zero untuk mencapai matlamat dan sasaran yang jelas menjelang 2030 dan 2050 untuk mengautomasi dan mendigitalkan bagi memberikan hasil yang memberangsangkan,” tambahnya.
Bagi suku pertama tahun ini, kumpulan itu menjangkakan harga minyak sawit mentah kekal pada paras semasa berikutan permintaan yang berterusan.
“Sebahagiannya adalah disebabkan kelebihan harga berbanding minyak alternatif dan kebimbangan bekalan susulan jangkaan mandat biodiesel Indonesia yang lebih tinggi serta dasar eksport yang lebih ketat,” tambahnya.
Ketibaan tenaga kerja menjelang akhir Jun 2023 untuk operasi di Malaysia dijangka meningkatkan prestasi kumpulan itu pada tahun ini. -DagangNews.com








