Untung bersih Q2 Maybank susut 18% berbanding Q1 ekoran COVID-19 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Q2 Maybank susut 18% berbanding Q1 ekoran COVID-19

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Bank keempat terbesar di Asia Tenggara dari segi aset, Malayan Banking Berhad (Maybank) menyaksikan keuntungan bersihnya menyusut 18% kepada RM1.96 bilion pada suku kedua tahun kewangan 2021 (2QFY21) daripada RM2.39 bilion yang dicatatkan pada suku tahun sebelumnya.

 

Menurut Maybank, penyusutan itu terutamanya disebabkan oleh penurunan dalam pendapatan yang berdasarkan yuran bersih ekoran impak lonjakan semula kes COVID-19 serta kerugian dan perbelanjaan overhed yang ketara daripada pasaran.

 

Bagaimanapun, dari segi perbandingan tahunan, keuntungan bersih Maybank melonjak daripada RM941.7 juta susulan pemberian pinjaman yang terus meningkat, pengembangan dalam margin faedah bersih (NIM) selain rosot nilai yang lebih rendah.

 

“Kumpulan mencatatkan pertumbuhan stabil dari segi pendapatan operasi bersih bagi suku tahun semasa di mana 9.3% lebih tinggi berbanding tahun lalu, pada kadar RM6.17 bilion.

 

“Ini dipacu oleh peningkatan 26.4% dalam pendapatan dana bersih susulan daripada pengembangan pemberian pinjaman dan pertumbuhan kukuh dalam simpanan akaun semasa dan simpanan (CASA) berkos rendah, di mana melebihi 27.0% penyusutan dalam pendapatan yuran bersih, yang disebabkan oleh impak daripada sekatan pergerakan di rantau ini.

 

“Dalam pada itu, pendapatan dana bersih pada tahun lalu lebih rendah memandangkan terhadap pengubahsuaian kerugian hari pertama yang signifikan daripada moratorium menyeluruh selama enam bulan, berkuatkuasa pada 1 April 2020,” jelas bank dalam satu kenyataan.

 

Bagi prestasi sepanjang enam bulan pertama FY21, kumpulan menyaksikan pendapatan yuran bersih menyusut sebanyak 16.5% kepada RM3.50 bilion daripada RM4.19 bilion yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu disebabkan oleh keuntungan pelupusan pelaburan yang lebih rendah dan kerugian daripada pasaran.

 

Bagaimanapun, Maybank terus mencatatkan kedudukan kecairan yang sihat dengan nisbah liputan kecairan (LCR) pada kadar 137.2% dan nisbah pinjaman kepada deposit pada 89.3%.

 

Mengulas mengenai prestasi kewangan kumpulan pada suku tahun semasa, Pengerusi Maybank, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa berkata, walaupun Maybank memulakan prestasi yang baik pada awal tahun ini, namun kumpulan kekal berhati-hati terhadap momentum pertumbuhan serantau secara keseluruhannya setelah mengambil kira lonjakan kes COVID-19 dalam tempoh beberapa bulan lalu.

 

“Lonjakan varian virus baharu membimbangkan, menyebabkan ‘lockdown’ di kebanyakan pasaran serantau yang mendatangkan sedikit impak ke atas prospek pertumbuhan kami dalam tempoh beberapa suku tahun akan datang.

 

“Dalam masa sama, kami akan terus melaksanakan strategi pada masa akan datang seperti mana digariskan dalam M25 Plan yang kami percaya membolehkan kumpulan menempuhi ketidaktentuan, meraih peluang pertumbuhan baharu dan mencipta nilai buat semua pihak berkepentingan,” katanya.

 

Senada itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias berkata, kumpulan akan meneruskan strategi untuk menumpukan kepada pengurusan risiko yang bertahan, memperkukuh modal dan meningkatkan pangkalan simpanan CASA untuk menyediakan penimbal yang cukup bagi keadaan tidak menentu.

 

Katanya, kedudukan kecairan dan modal yang kukuh membolehkan mereka menyokong pelanggan menerusi pandemik yang berpanjangan ini dan dalam masa sama, membuka ruang untuk mereka meneroka peluang pertumbuhan di rantau ini. - DagangNews.com