Untung bersih Luxchem susut 22% kepada RM16.09 juta pada suku pertama | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Luxchem susut 22% kepada RM16.09 juta pada suku pertama

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 28 April - Luxchem Corp. Bhd. merekodkan untung bersih sebanyak RM16.09 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022, susut 21.73% daripada RM20.56 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Penurunan itu terutamanya disebabkan pendapatan yang lebih rendah daripada segmen dagangan walaupun kumpulan merekodkan hasil yang lebih tinggi pada suku berkenaan, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Pada suku tersebut, pendapatan kumpulan meningkat 5.11% kepada RM239.52 juta berbanding RM227.87 juta bagi tempoh sama 2021, yang disumbangkan menerusi jualan eksport yang lebih tinggi menerusi segmen pembuatan kumpulan.

 

Bagi perbandingan suku ke suku, untung bersih Luxchem menurun 3% daripada RM16.59 juta yang direkodkan pada suku keempat 2021. 

 

Ini disebabkan hasil menyusut 17.03% daripada RM288.69 juta pada suku sebelumnya disebabkan jualan yang lebih rendah bagi segmen dagangan dan pembuatan.

 

Mengenai prospek kumpulan, Luxchem berkata, prestasi kumpulan boleh dipengaruhi oleh turun naik dalam kadar pertukaran dolar AS-ringgit, ketidaktentuan harga bahan mentah, permintaan dan situasi bekalan bahan mentah, persaingan, situasi semasa COVID-19 serta konflik antara Rusia dan Ukraine.

 

"Kumpulan akan terus meningkatkan produktiviti dan kecekapannya untuk menghadapi faktor dan cabaran luar yang tidak terkawal ini," jelasnya. - DagangNews.com