Untung bersih BP Plastics meningkat kepada RM8.3 juta pada 1QFY23, isytihar dividen 1.5 sen sesaham | DagangNews Skip to main content

Untung bersih BP Plastics meningkat kepada RM8.3 juta pada 1QFY23, isytihar dividen 1.5 sen sesaham

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 26 Mei - Keuntungan bersih BP Plastics Holding Bhd telah meningkat 10% kepada RM8.3 juta pada suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) berbanding RM7.5 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu disebabkam campuran produk yang lebih baik.

 

Pendapatan kumpulan bagaimanapun telah merosot 11% kepada RM117 juta dalam suku semasa berakhir 31 Mac 2023 itu daripada RM131 juta pada suku pertama tahun kewangan 2022 (1QFY22) disebabkan harga jualan yang lebih rendah.

 

Bagi perbandingan suku ke suku pula, keuntungan bersih kumpulan telah meningkat 52% kepada RM8.3 juta pada 1QFY23 daripada RM5.45 juta dalam suku keempat tahun kewangan 2022 (4QFY23).

 

Pendapatan BP Plastics pula meningkat 6% kepada RM117 juta pada 1QFY23 berbanding RM110 juta dalam 4QFY22, didorong oleh permintaan yang lebih kukuh pada suku semasa.

 

Kumpulan itu mencadangkan dividen interim pertama sebanyak 1.5 sen sesaham bagi 1QFY23 dengan tarikh kelayakan dividen ditetapkan pada 23 Jun 2023 dan pembayaran akan dibuat pada 7 Julai 2023.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata ia sentiasa optimistik terhadap permintaan yang berterusan untuk produk pembungkusan plastik walaupun keadaan ekonomi global kekal mencabar untuk perniagaan di samping kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) kepada 3% baru-baru ini.

 

Di samping itu, ia akan terus berwaspada terhadap rantaian bekalan dan pengurusan kos.

 

Selain itu, dengan komitmen terhadap ESG dan objektif kemampanan, kumpulan itu berkata ia sentiasa sejajar dengan trend pembungkusan mampan dan mengekalkan kewajipannya untuk menjalankan perniagaan dengan cara yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan sosial.

 

“Walaupun menghadapi cabaran, kami tetap komited menyampaikan prestasi yang menguntungkan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 berdasarkan asas kukuh, kebolehsuaian dan kunci kira-kira kukuh, bersama dengan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak berkepentingan,” tambahnya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Saham BP Plastics telah ditutup pada RM1.22 sesaham, susut 2 sen atau 1.6% dengan modal pasaran berjumlah RM343.5 juta. -DagangNews.com