Untung bersih 1QFY24 United Plantations meningkat 18.5% kepada RM132.9 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih 1QFY24 United Plantations meningkat 18.5% kepada RM132.9 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 April - Untung bersih United Plantations Bhd melonjak 18.5% kepada RM132.9 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2024 (1QFY24) berbanding RM112.1 juta pada suku sama tahun sebelumnya didorong sumbangan lebih tinggi daripada segmen perladangan.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil kumpulan bagi suku semasa juga meningkat kepada RM476.7 juta berbanding RM459.9 juta bagi suku sama tahun lalu disebabkan peningkatan hasil bagi segmen perladangan menerusi harga minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK).

 

Katanya, hasil daripada segmen utama kumpulan pada suku semasa adalah lebih tinggi sebanyak 14% berbanding suku yang sama tahun lepas disebabkan oleh pengeluaran MSM dan harga purata MSM serta PK yang lebih tinggi.

 

"Pengeluaran MSM kumpulan meningkat sebanyak 2.9% manakala pengeluaran PK menurun sedikit sebanyak 1%.

 

"Purata harga MSM dan PK pada RM4,179 bagi setiap tan dan RM2,083/tan masing-masing adalah 13.9% dan 4.2% lebih tinggi daripada suku yang sama pada tahun lalu," katanya.

 

Kumpulan itu berkata, hasil bagi segmen penapisan meningkat 5.2% kepada RM319.7 juta pada suku semasa berbanding RM304 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya disebabkan purata harga jualan yang lebih tinggi.

 

Mengulas mengenai prospek, United Plantations berkata, walaupun berdepan cabaran global, pihaknya akan terus fokus kepada operasi ladang dengan mengambil langkah untuk menambah baik hasil, kos dan produktiviti.

 

Katanya, matlamat itu diteruskan menerusi inisiatif mekanisasi yang berterusan dan melalui penanaman semula pokok kelapa sawit yang lebih tua dan kurang produktif dengan produk yang lebih baik.

 

"Usaha itu penting untuk memastikan kami kekal berdaya saing dan mencatatkan keuntungan kerana peningkatan kos tenaga kerja, tenaga, baja, bahan kimia dan bahan binaan dijangka kekal pada tahap yang tinggi, sekali gus memberikan tekanan ke atas asas kos operasi," katanya.- DagangNews.com