TA Securities semak turun unjuran pendapatan FY24 Elsoft sebanyak 27.9% kesan kelemahan jualan | DagangNews Skip to main content

TA Securities semak turun unjuran pendapatan FY24 Elsoft sebanyak 27.9% kesan kelemahan jualan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Mei - TA Securities menyemak turun ramalan pendapatan FY24 Elsoft Research Bhd sebanyak 27.9% kesan jualan yang lebih lemah.

 

Selepas mengambil kira keputusan kewangan yang lebih lemah daripada jangkaan, firma penyelidikan itu turut menyemak turun unjuran pendapatan FY25 dan FY26 kumpulan masing-masing sebanyak 2% dan 1.7%.

 

"Bagaimanapun, kami menjangkakan pendapatan kumpulan bertambah baik terutama selepas separuh kedua tahun ini dengan unjuran peningkatan permintaan global untuk segmen semikonduktor," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, untung teras 1QFY24 kumpulan sebanyak RM900,000 adalah di bawah jangkaan, menyumbang 6.8% daripada anggaran tahun penuh mereka.

 

Katanya, keadaan itu disebabkan oleh permintaan yang lebih lemah daripada jangkaan untuk peralatan ujian automatik.

 

"Untung bersih teras Elsoft bagi 1 QFY24 menyusut 66.8% dengan mereka mengalami tekanan margin dan kerugian daripada syarikat bersekutu.

 

"Selain itu, permintaan untuk peralatan ujian automatik masih belum pulih. Sementara itu, hasil kekal tidak berubah pada RM4.6 juta," katanya.

 

TA Securities berkata, kumpulan itu mengekalkan kunci kira-kira yang kukuh tanpa sebarang hutang dan kedudukan tunai bersih RM96.7 juta pada suku pertama tahun ini.

 

"Kami mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) 57 sen sesaham," katanya.- DagangNews.com