Unisem mampu raih manfaat daripada perkembangan pesat 5G, IoT | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Unisem mampu raih manfaat daripada perkembangan pesat 5G, IoT

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 29 Julai - MIDF Research optimis dengan prospek Unisem (M) Bhd. bagi tempoh terdekat hingga sederhana memandangkan kumpulan berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan percambahan pesat 5G dan internet segala-galanya (IoT).

 

Ini berikutan permintaan kukuh merentasi semua kategori pasaran termasuk pengurusan tenaga, frekuensi radio, automotif dan peralatan elektronik pengguna. 

 

"Kami juga positif dengan prospek perkembangan kumpulan didorong pelan pengembangannya untuk memanfaatkan permintaan cip dan memperkukukuh kedudukannya di China menerusi kerjasama dengan Tianshui Huatian Technology Co Ltd (TSHT).

 

"Susulan prospek positif ini, kami mengekalkan saranan 'beli' terhadap Unisem," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Pada separuh pertama berakhir 30 Jun 2022, untung bersih Unisem melonjak 156% tahun ke tahun kepada RM256.55 juta daripada RM100.5 juta, manakala pendapatan meningkat 14.47% kepada RM888.51 juta daripada RM776.17 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Untung bersih yang lebih tinggi ini terutamanya disumbangkan menerusi kenaikan harga purata jualan dan pengukuhan kadar tukar dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding ringgit. 

 

Menurut MIDF Research, normalisasi keuntungan bersih sebanyak RM120.8 juta pada separuh pertama 2022 adalah memenuhi jangkaan firma, memenuhi 47% unjurannnya daripada anggaran tahun penuh bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22).

 

"Ini membolehkan kami memulakan penilaian asas tahun kepada FY23 dengan harga sasaran baharu pada RM4.07 daripada RM4.33 sesaham sebelum ini, yang ditambat pada pendapatan sesaham (EPS) FY23 sebanyak 17.7 sen berbanding nisbah harga perusahaan (PER) sebanyak 23 kali.

 

"PER yang lebih rendah (daripada 27.4 kali sebelum ini) adalah mengambil kira ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik, kebimbangan kadar faedah dan gangguan rantaian bekalan," jelasnya.

 

Bagaimanapun, firma itu percaya permintaan kukuh merentasi pasaran produk dan perkhidmatan terutamanya tahap pembungkusan wafer dan sistem mikroelektro-mekanikal (MEM) mewajarkan penilaian.

 

Setakat 10.29 pagi, harga saham Unisem menokok 19 sen atau 6.88% kepada RM2.95 dengan 1.83 juta saham diniagakan. - DagangNews.com