Unifi TV tambah tiga saluran premium baharu menerusi kerjasama beIN Asia Pacific, Moonbug | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Unifi TV tambah tiga saluran premium baharu menerusi kerjasama beIN Asia Pacific, Moonbug

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Feb - Unifi TV mengumumkan tiga saluran premium terbaharu dengan kerjasama para penyedia kandungan terkemuka, beIN Asia Pacific dan Moonbug Entertainment, serta KC Global Media dari Korea.

 

Bermula Februari 2023, penonton dapat menikmati saluran-saluran popular ini melalui langganan Unifi TV, antaranya beIN SPORTS 2 yang akan menyiarkan kejohanan bola sepak Eropah peringkat tertinggi, kejohanan tenis antarabangsa, penyiaran penuh Formula 1, Moonbug Kids untuk tontonan keluarga dan kanak-kanak serta ONE buat para peminat drama dan hiburan Korea terkini.

 

Dua daripada tiga saluran terbaharu ini, Moonbug Kids dan One, dapat ditonton secara percuma oleh pelanggan Unifi TV baharu dan sedia ada sepanjang Februari.

 

Ini menjadikan tawaran saluran Unifi TV kepada 71 saluran premium, bersama-sama dengan 17 rakan kongsi aplikasi termasuk Disney+ Hotstar, Viu, WeTV dan Lionsgate Play, pilihan terbesar aplikasi penstriman dalam satu platform.

 

Ketua Unifi TV, Ho Hock Doong berkata, pihaknya teruja menjalin kerjasama bersama beIN Asia Pacific, Moonbug Entertainment dan KC Global Media dalam membawakan saluran-saluran popular mereka ke Unifi TV dan memberikan tawaran berkualiti kepada penonton tempatan.

 

Beliau berkata, pada penghujung 2022, Digital Market Insights mengunjurkan bahawa pendapatan Home Entertainment Malaysia dijangka mencapai kadar pertumbuhan tahunan (CAGR 2022-2027) sebanyak 8.36%, dengan unjuran pasaran sebanyak AS$48.57 juta dan 1.1 juta pengguna aktif menjelang 2027.

 

“Dengan mengambil kira prospek ini, kami mengukuhkan kerjasama kami dengan penyedia kandungan global terkemuka untuk menawarkan pilihan penyelesaian hiburan digital yang inklusif serta memberikan nilai semua dalam satu unifi kepada pelanggan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

beIN SPORTS 2 akan menyertai tiga saluran beIN SPORTS dan aplikasi beIN SPORTS CONNECT yang sedia ada di Unifi TV, menawarkan liputan langsung acara sukan terluas oleh beIN SPORTS di Malaysia. 

 

Selain daripada hak penyiaran Formula 1 yang akan dinikmati penonton Unifi TV, saluran itu juga akan merangkumi kejohanan tenis Terbuka Australia, ATP dan Roland-Garros yang akan datang.

 

Pengarah Urusan beIN Asia Pasifik, Mike Kerr pula berkata, dalam mengembangkan dan mengukuhkan tawaran sukan, pihaknya teruja untuk memasuki fasa kerjasama seterusnya dengan Unifi TV. 

 

"Kini dengan Formula 1, peminat boleh menikmati lebih banyak liputan langsung  berbanding sebelum ini di beIN SPORTS. Kami berharap dapat bekerjasama dengan Unifi TV untuk menambah jumlah penonton kami di Malaysia," katanya.

 

Selain itu, Moonbug Kids di Unifi TV akan menampilkan semua IP Moonbug termasuk CoComelon, Blippi, Gecko's Garage, Morphle, Arpo, Little Baby Bum dan pemerolehan terbaru Little Angel dan Oddbods, yang menawarkan hiburan yang sihat dan berkualiti untuk penonton prasekolah dan kanak-kanak. - DagangNews.com