Uni Wall beli tanah 518.74 hektar di Negeri Sembilan pada harga RM445 juta | DagangNews Skip to main content

Uni Wall beli tanah 518.74 hektar di Negeri Sembilan pada harga RM445 juta

KUALA LUMPUR 24 Sept — Uni Wall Aps Holdings Bhd menerusi anak syarikat milik 70 peratusnya, NS Aero memeterai perjanjian jual beli bersyarat dengan NS Corp untuk cadangan pengambilalihan dua bidang tanah pegangan bebas di Seremban, Negeri Sembilan pada harga tunai RM445 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata pertimbangan pembelian akan dipenuhi dalam bentuk tunai, yang akan dibiayai melalui gabungan dana yang dijana secara dalaman, pinjaman bank dan hasil yang akan diperoleh daripada usaha mengumpul dana syarikat.

 

Ia berkata cadangan pengambilalihan tanah seluas kira-kira 518.74 hektar itu adalah sebahagian daripada inisiatif syarikat untuk meningkatkan prestasi kewangan yang lebih baik dan membolehkan Uni Wall Aps memanfaatkan kepakarannya dalam sektor pembinaan bagi mengembangkan aktiviti pembangunan hartanah.

 

"Tanah ini untuk dibangunkan sebagai 'NS International Tech Park," katanya sambil menambah bahawa syarikat itu dijangka menerima aliran pendapatan tambahan selepas jualan progresif dan pembangunan hartanah di situ.

 

Ia berkata, cadangan pengambilalihan itu dijangka tidak memberi kesan material ke atas pendapatan dan pendapatan sesaham kumpulan untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, kerana cadangan itu dijangka selesai pada suku keempat tahun ini.

 

“Namun begitu, cadangan pengambilalihan itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan kumpulan apabila lot tanah dijual dan dibangunkan,” katanya.

 

 

uni wall
CEO Uni Wall Siow Hon Yuen bersama Pengerusi NS Corporation, Dato' Dr. Mohamad Rafie bin Ab Malek.

 


Sebagai sebahagian daripada pembangunan, Uni Wall Aps berhasrat bekerjasama dengan rakan kongsi strategik untuk membeli lot tanah daripada NS Aero, katanya.

 

“Syarikat  sedang berbincang dengan beberapa rakan kongsi strategik dan  NS Aero telah menandatangani beberapa memorandum kerjasama dengan Astrom Training Solutions Inc di Kanada dan Sun Solutino Pte Ltd di Singapura,” katanya. - DagangNews.com