KUALA LUMPUR 15 Dis - United Nations Sustainable Development Solutions Network (UN-SDSN) melancarkan ibu pejabat Asia pertama sekaligus meletakkan Sunway City, Kuala Lumpur di Malaysia bersama Paris dan New York City.
Pejabat UN-SDSN terbaharu ini, akan membantu, menyelaras dan mempercepatkan inisiatif kemampanan di seluruh benua Asia dan akan bekerjasama rapat dengan rakan sejawatannya di Paris, yang menyelia Afrika dan Eropah, dan di New York City, yang menyelia benua Amerika.
Ibu Pejabat UN-SDSN Asia dan Pusat Pembangunan Lestari Jeffrey Sachs, kedua-duanya ditempatkan di Universiti Sunway, telah ditubuhkan melalui hadiah berjumlah AS$20 juta kepada UN-SDSN oleh Yayasan Jeffrey Cheah.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-8, Ban Ki-moon berkata, dengan pengenalan SDGs pada 2015, kerajaan, perniagaan, ahli akademik dan masyarakat sivil bersama-sama dengan PBB dan rakan kongsi lain telah menggerakkan usaha untuk mencapai Agenda Pembangunan Mampan menjelang 2030.
Beliau berkata, pembukaan ibu pejabat Asia baharu adalah satu peristiwa penting untuk menandakan ulang tahun 10 tahun UN-SDSN.
"Saya melihat harapan, inovasi dan tindakan yang membuatkan saya percaya adalah mungkin untuk membina masa depan yang lebih baik untuk kita semua," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Setiausaha Agung PBB dan Setiausaha Eksekutif Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial bagi Asia dan Pasifik (ESCAP), Prof Dr Armida Salsiah Alisjahbana merasmikan ibu pejabat Asia tersebut.

Tan Sri Dr Jeffrey Cheah
Pengerusi UN-SDSN, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah pula berkata, keputusan menyokong UN-SDSN dalam kerja pentingnya adalah berdasarkan dua kata kunci dalam namanya sendiri, iaitu 'Penyelesaian' dan 'Rangkaian.'
Beliau yang juga Pengasas dan Pengerusi Sunway Group berkata, melalui rangkaian yang mendalam dan luas Bab Kebangsaan UN-SDSN di seluruh dunia, pihaknya sedang menangani masalah dunia sebenar dalam masa nyata.
"Adalah menjadi harapan saya bahawa penyelesaian yang kami kemukakan dapat memberi inspirasi kepada ramai orang lain di seluruh dunia dalam menangani isu yang berkaitan dengan agenda kelestarian," katanya.
Armida berkata, pelancaran ibu pejabat Asia menunjukkan komitmen UN-SDSN ke arah memajukan agenda pembangunan mampan global.
Katanya, UN-SDSN mengiktiraf peranan utama dan sumbangan mereka dalam pendekatan keseluruhan masyarakat bagi pelaksanaan Agenda 2030 dan pencapaian SDG. - DagangNews.com








