UiTM, Merchantrade bekerjasama sediakan perkhidmatan e-dompet kepada pelajar, alumni | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UiTM, Merchantrade bekerjasama sediakan perkhidmatan e-dompet kepada pelajar, alumni

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 30 Jan - Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Merchantrade Asia Sdn Bhd (Merchantrade) menjalin kerjasama untuk menyediakan perkhidmatan kepada para pelajar antarabangsa dan di luar negara yang berdaftar di UiTM, kakitangan universiti dan kepada sejuta ahli alumni yang masih aktif.

 

Dikenali sebagai Kad Prabayar Visa Merchantrade Money dengan dompet digital, kad  berciri revolusi dan penyelesaian aplikasinya mampu memberi kemudahan kepada para pelajar dan kakitangan UiTM untuk menjalankan transaksi kewangan secara digital.

 

Pengasas dan Pengarah Urusan Merchantrade, Ramasamy K Veeran berkata, pihaknya sentiasa berkembang dan menerajui dalam merevolusikan industri dengan peningkatan tumpuan pada penawaran digital.

 

Beliau berkata, Merchantrade berhasrat untuk membolehkan perkhidmatan kewangan inovatif melalui teknologi yang juga menjadikannya lebih selamat dan mudah untuk membawa serta membelanjakan mata wang asing apabila pengguna ke luar negara.

 

“Sebagai institusi digital bukan bank pertama menawarkan perkhidmatan dompet digital, kami mengharapkan kerjasama ini membuahkan hasil, mempromosikan penyelesaian lebih inovatif dalam memangkinkan ekosistem perkhidmatan kewangan digital secara menyeluruh," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, pihak Merchantrade dan UiTM memeterai memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor dan Ramasamy di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

 

Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk menggalakkan kerjasama antarabangsa dalam bidang akademik, termasuk kerjasama pengajaran, penyelidikan, simposium, pertukaran maklumat mengenai pendidikan dan pembangunan pelajar serta kerjasama dalam khidmat kemasyarakatan.

 

 

uitm
Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor dan Ramasamy K Veeran ketika majlis menandatangani MoU antara UiTM dan Merchantrade di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

 

 

Dalam pada itu, Roziah pula berkata, hasrat untuk menjadikan UiTM sebagai Universiti Terkemuka Dunia (GRU2025) memberikan banyak peluang kepada pihak universiti untuk menjalin kerjasama lebih erat dengan organisasi dan agensi luar.

 

Katanya, kolaborasi ini memberikan petunjuk kepada permulaan yang cemerlang dan komitmen terhadap kerjasama ini.

 

 

uitm

 

 

“Malah, terjalinnya MoU UiTM bersama Merchantrade, warga UiTM dapat menikmati pelbagai kemudahan terutamanya dalam pelan pengurusan kewangan digital. 

 

"Objektif utama ini merangkumi hasrat mewujudkan portal pengurusan kewangan untuk kegunaan seluruh warga UiTM bagi memudahkan proses pembayaran yuran pelajar antarabangsa, pertukaran mata wang secara digital, pembayaran tanpa tunai di kampus UiTM serta pengeluaran wang tunai di seluruh dunia," katanya. - DagangNews.com