TT Vision bermula cemerlang di Bursa Malaysia dengan premium RM1.15 daripada IPO | DagangNews Skip to main content

TT Vision bermula cemerlang di Bursa Malaysia dengan premium RM1.15 daripada IPO

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Jan - TT Vision Holdings Berhad bermula cemerlang di Pasaran ACE Bursa Malaysia apabila dibuka pada RM1.49 atau premium RM1.15 atau 33.823% berbanding haraga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 34 sen.  

 

Pelaksanaan IPO itu memerlukan terbitan awam sebanyak 84.5 juta saham baharu untuk memperoleh RM28.73 juta dan tawaran untuk penjualan 10.5 juta saham sedia ada kepada pelabur terpilih pada harga RM3.57 juta melalui penempatan persendirian.

 

Daripada RM28.73 juta hasil yang dijangka diperoleh daripada terbitan awam, kumpulan itu memperuntukkan RM10.68 juta atau 37.17% untuk modal kerja dan RM8 juta (27.85%) untuk perbelanjaan penyelidikan dan pembangunannya.

 

Sementara itu, RM6 juta (20.88%) akan digunakan untuk pembayaran balik pinjaman bank manakala RM850,000 (2.96%) akan digunakan untuk aktiviti pemasaran.

 

Sejumlah RM3.2 juta (11.14%) adalah untuk membiayai perbelanjaan berkaitan penyenaraian.

 

Daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 468 juta saham dan harga terbitan 34 sen, kumpulan itu dijangka mempunyai permodalan pasaran RM159.12 juta selepas penyenaraian.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutifnya, Goon Koon Yin berkata, kakitangan kumpulan itu bekerja keras sejak 21 tahun lalu untuk mengembangkan syarikat sehingga ke hari ini.

 

"Kami berhasrat untuk terus mengembangkan syarikat kami ke tahap yang lebih tinggi dan meningkatkan bahagian pasaran semikonduktor, optoelektronik dan sel suria terkemuka yang lain seperti Amerika Syarikat, Jerman, Korea Selatan, China dan Malaysia.

 

"Penyenaraian datang pada masa yang sesuai di mana kami berhasrat untuk memanfaatkan status penyenaraian kami untuk mengekalkan momentum pertumbuhan kami pada masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

KAF Investment Bank Berhad merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal. - DagangNews.com