KUALA LUMPUR 15 Dis - Top Glove Corp. Bhd. dijangka terus berdepan prospek lemah sepanjang tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2023 (FY23) selepas mencatat kerugian dua suku berturut-turut.
Akibat berdepan persekitaran mencabar, kerugian syarikat pengeluar sarung tangan getah itu meningkat tiga kali ganda kepada RM168.24 juta bagi suku pertama berakhir 30 November 2022 berbanding RM52.59 juta yang direkodkan pada suku sebelumnya.
Keputusan kewangan yang direkodkan pada suku berkenaan, dilihat mengejutkan memandangkan CGS-CIMB Research dan konsensus Bloomberg dengan masing-masing mengunjurkan ia akan mencatat untung bersih sebanyak RM41.6 juta dan RM175.7 juta.
Penganalisisnya, Walter Aw berkata, Top Glove kemungkinan tidak akan membayar dividen bagi FY23 memandangkan kumpulan dijangka terus mencatat kerugian sebanyak RM311 juta sepanjang tahun kewangan ini.
Menurutnya, kumpulan memperlahankan langkah pengembangan setelah mengambil kira volum jualan yang rendah dan tekanan ASP, dengan mengekalkan kapasiti pada 100 bilion keping setahun setakat akhir suku pertama FY23.
Malah, katanya, Top Glove juga telah menangguhkan semua perbelanjaan modal (capex) yang diperuntukkan untuk tujuan pengembangan kapasiti bagi mengukuhkan aliran tunai dan mengekalkan kedudukan tunai bersihnya.
"Kami menjangkakan ASP nitril akan terus melemah pada suku kedua sekitar AS$18 hingga AS$19 per 1,000 keping, meskipun ia mula melihat permintaan semakin meningkat manakala kadar penggunaan dijangka pulih kepada 40% pada suku kedua.
"Pada masa sama, Top Glove dijangka masih berada dalam kerugian pada suku kedua hingga ketiga dengan kerugian suku ke suku yang lebih kecil, sebelum kembali untung pada suku keempat FY23," katanya dalam nota kajian hari ini.

Secara keseluruhan, CGS-CIMB mengekalkan saranan 'kurang' terhadap Top Glove dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada 46 sen daripada 50 sen sesaham sebelum ini.
Sejajar semakan TP itu, ia mengurangkan pendapatan sesaham (EPS) bagi FY23 sebanyak 847% selepas mengambil kira hasil yang lemah ekoran penurunan ASP dan volum jualan.
Bagaimanapun, firma itu mengurangkan EPS bagi FY24 dan FY25 masing-masing sebanyak 6 dan 9% dengan menjangkakan Top Glove akan kembali mencatat keuntungan dalam tempoh itu sebanyak RM138 juta dan RM269 juta.
Baca : Top Glove hanya akan kembali catat untung dalam tempoh 9 hingga 12 bulan lagi, kata Pengerusi Kumpulan
Semalam, Pengerusi Eksekutif Top Glove, Tan Sri Lim Wee Chai menjangkakan kumpulan akan kembali mencatat keuntungan dalam tempoh sembilan hingga 12 bulan akan datang.
Beliau menjangkakan kerugian Top Glove akan mengecil dalam tempoh tiga bulan akan datang, dan kumpulan kemudiannya akan pulang modal enam bulan dari sekarang.

Sementara itu, MIDF Research mengekalkan saranan 'jual' terhadap Top Glove dengan TP juga disemak lebih rendah kepada 42 sen daripada 54 sen sesaham sebelum ini.
Firma itu mengekalkan unjuran ASP sekitar AS$19 hingga AS$21 di sebalik penurunan berterusan disebabkan lebihan bekalan dan pengurangan permintaan memandangkan kebanyakan negara sudah memasuki fasa endemik.
Selain itu, ia tidak menjangkakan sebarang mekanisme pelepasan kos dalam tempoh terdekat berikutan persaingan harga yang sengit daripada pembuat sarung tangan domestik dan China.
"Kami dapati purata ASP bagi pengeluar sarung tangan getah di Malaysia adalah sekitar AS$17 hingga AS$18, sedangkan pengeluar China mengalami kerugian dengan menjual pada harga sekitar AS$14 hingga AS$15.
"Oleh itu, kami percaya Top Glove akan mengekalkan ASPnya pada tahap kompetitif dalam usaha mengekalkan dan meningkatkan volum jualan," jelasnya.
Susulan prestasi kewangan suku pertama yang tersasar daripada jangkaannya, MIDF Research menyemak semula unjuran bagi FY23 dan FY24 dengan mengurangkan hasilnya masing-masing sebanyak 77.8% dan 60.7%.
Ini mengambil kira volum jualan yang lebih rendah menjejaskan kadar penggunaan, penurunan ASP dan kos tenaga lebih tinggi.
"Secara keseluruhan, kami kekal berhati-hati terhadap prospek Top Glove bagi FY23 terutamanya disebabkan ketidakupayannya menaikkan ASP memandangkan pelanggan boleh berubah dengan mudah kepada pengeluar lain yang mampu menawarkan harga lebih murah," katanya.
Setakat 9.27 pagi ini, harga saham Top Glove susut 1.5 sen atau 1.91% kepada 77 sen dengan 3.69 juta saham diniagakan. - DagangNews.com








