KUALA LUMPUR 20 Mac - Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Kumpulan Sunway (Sunway) menjalin kerjasama memacu bersama agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dengan mewujudkan nilai perniagaan mampan dan meneroka peluang kerjasama dalam mempromosikan penyelesaian peralihan tenaga, mempercepatkan bisnes tenaga bersih serta membangunkan keupayaan ESG.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din berkata, pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dengan Kumpulan Sunway untuk memacu amalan perniagaan yang mampan dan mempercepatkan peralihan tenaga.
Beliau berkata,iai adalah langkah penting bagi pihaknya dalam usaha mempromosikan penyelesaian tenaga mampan di negara ini ke arah mencapai matlamat ESG mereka.
Jelasnya, pihaknya bersama-sama boleh mencipta masa depan lebih mampan untuk masyarakat dan membantu mengurangkan jejak karbon demi mewujudkan masa depan lebih baik untuk semua.
"Di TNB, kami komited untuk memacu Peralihan Tenaga negara melalui aspirasi pelepasan Sifar Bersih dan menyokong Malaysia mencapai sasaran neutral karbon menjelang 2050.
"Dalam usaha untuk mempercepatkan pelan peralihan tenaga yang bertanggungjawab ini, kami meneruskan pelaburan besar Grid Masa Depan; mempercepatkan penyahkarbonan portfolio penjanaan, TNB Genco; memperluaskan pasaran tumpuan untuk mengembangkan portfolio Tenaga Boleh Baharu (TBB) dan memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem kenderaan elektrik," katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, memorandum persefahaman (MoU) tersebut ditandatangani Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah dan Presiden Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr Chew Chee Kin, manakala bagi TNB ditandatangani oleh Baharin Din dan Ketua Pegawai Strategi dan Usaha Niaga TNB, Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan di Menara Platinum TNB di sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Datuk Seri Razman M Hashim dan Ketua Pegawai Rangkaian Pengedaran TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood.
Jeffrey pula berkata, pihaknya gembira dapat bekerjasama dengan TNB, peneraju dalam sektor tenaga dalam meluaskan agenda pembangunan mampan dan mencipta nilai jangka panjang untuk pemegang kepentingan pihaknya.
Katanya, kerjasama ini mengukuhkan komitmen bersama ke arah peralihan tenaga bersih dan ekonomi neutral karbon.
"Selepas memperkenalkan rangka kerja penetapan karbon untuk merangsang usaha penyahkarbonan dalam kumpulan tahun lalu, kami berikrar untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, melalui langkah seterusnya dengan pelancaran program pajakan hijau untuk menangani pelepasan Skop 3 pada tahun ini," katanya.
Ujar beliau, pihaknya amat percaya bahawa kemampanan dan keuntungan boleh berjalan seiring.
Di bawah MoU itu, TNB dan Sunway akan bekerjasama untuk membangunkan inisiatif bersama dan meneroka peluang baharu dalam skop penyelesaian peralihan tenaga, perniagaan tenaga bersih dan keupayaan ESG.
Di bawah tiga skop ini, bidang potensi kerjasama meliputi antara lain, pembangunan pusat data, penggunaan solar fotovoltaik, penyejukan daerah dan infrastruktur kenderaan elektrik dalam hartanah Sunway, pengeluaran TBB, penyelesaian digital berkaitan tenaga, pengupayaan tenaga kerja serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) akademik.
Kerjasama yang berjaya dalam mana-mana skop akan membolehkan kedua-dua syarikat mewujudkan nilai perniagaan yang mampan, sambil pada masa sama membantu mereka memenuhi komitmen ESG masing-masing.
Demi mencapai aspirasi neutral karbon menjelang 2050, Malaysia perlu melalui peralihan tenaga yang bertanggungjawab, iaitu perubahan ke arah sumber tenaga rendah dan sifar karbon.
Pada masa sama, peralihan tenaga juga perlu berlaku dalam sektor lain termasuk pengangkutan dan perbandaran, melalui usaha seluruh masyarakat. - DagangNews.com








