TNB kongsi panduan jimat tenaga ketika cuaca panas | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TNB kongsi panduan jimat tenaga ketika cuaca panas

Pada waktu malam, hidupkan kipas bagi membantu pengedaran udara di dalam bilik. Suhu bilik akan mencecah tahap yang selesa lebih cepat selepas beberapa jam pendingin hawa dipasang.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

TENAGA Nasional Berhad (TNB) menyarankan pengguna kediaman untuk mengamalkan penggunaan elektrik secara berhemah sepanjang tempoh peningkatan titik panas dan jerebu berikutan cuaca kering ketika ini.


 
TNB dalam kenyataan hari ini memaklumkan, penggunaan elektrik mungkin meningkat akibat cuaca yang agak panas selain pengguna sedang berada dalam musim perayaan Hari Raya Aidilfitri. 

 

Katanya, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca panas tahap satu (berjaga-jaga) di beberapa kawasan dengan cuaca berkenaan boleh mencecah di antara 35 hingga 37 darjah celsius.

 

 

tnb
Kerap menyenggara pendingin hawa membolehkan ia beroperasi pada tahap optimum. Bersihkan penapis agar udara sejuk dapat keluar dengan lebih lancar.

 

 

Antara amalan penjimatan elektrik yang mudah dilakukan termasuk:

 

Ruang tamu dan luar rumah

 

• Matikan penyaman udara, kipas dan lampu di dalam bilik yang kosong.

 

• Matikan suis peralatan elektrik seperti komputer selepas selesai menggunakannya.

 

• Ketika cuaca panas terik, tutupkan tingkap dengan langsir yang tebal supaya haba tidak masuk.

 

• Tidak meninggalkan barangan elektrik di dalam mod sedia (standby mode).

 

• Gunakan lampu mentol LED yang tahan lebih lama serta lebih jimat tenaga.

 

• Gosok pakaian dalam jumlah yang banyak pada suatu masa.

 

• Memilih alat elektrik berlabel cekap tenaga 4 atau 5 bintang oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).

 

 

tnb

 

Bilik tidur

 

  • Pada waktu malam, hidupkan kipas bagi membantu pengedaran udara di dalam bilik. 

 

  • Tetapkan masa untuk pendingin hawa dimatikan bagi menjimatkan penggunaan elektrik.

 

  • Kerap menyenggara pendingin hawa membolehkan ia beroperasi pada tahap optimum. Bersihkan penapis agar udara sejuk dapat keluar dengan lebih lancar.

 

 

tnb

 

Dapur

 

• Elakkan letak peti sejuk di tempat yang panas seperti tempat yang terdedah kepada pancaran terus cahaya matahari atau berhampiran dengan dapur memasak. 

 

• Susunkan barang-barang di dalam peti sejuk dengan sekurang-kurangnya dua pertiga kapasiti ruangan peti sejuk untuk membiarkan ruang pengedaran udara sejuk. 

 

• Ketuhar gelombang mikro yang menggunakan tenaga yang rendah boleh menjimatkan tenaga elektrik sebanyak 10 hingga 25%. 

 

• Tekan suis air panas hanya apabila ingin digunakan dan tutup sejurus selesai. Elakkan suis alat pemanas air terbuka tanpa digunakan.

 

• Bagi mesin basuh, kumpul dan basuh pakaian dengan muatan penuh kerana penggunaan elektrik adalah sama antara muatan penuh atau separuh.

 

• Menjemur pakaian dengan sinaran matahari berbanding menggunakan mesin pengering selepas mencuci pakaian. 

 

 

tnb
Memilih alat elektrik berlabel cekap tenaga 4 atau 5 bintang oleh Suruhanjaya Tenaga juga membantu menjimatkan penggunaan elektrik di kediaman.

 

Bilik mandi

 

• Elakkan suis alat pemanas air terbuka tanpa digunakan.

 

• Mandi air sejuk tanpa menggunakan pemanas air, badan akan terasa lebih segar.

 

 

Untuk memantau penggunaan elektrik secara langsung, pengguna juga digalakkan untuk memanfaatkan perkhidmatan meter pintar sekiranya sudah siap dipasang, sama ada dengan myTNB portal (www.mytnb.com.my) atau aplikasi myTNB.

 

Layari www.mytnb.com.my/energy-efficiency/home-energy-savings-tips/tips-tricks untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai langkah penjimatan elektrik dengan bijak. - DagangNews.com