TNB cadang lupus pegangan dalam unit tenaga boleh diperbaharui - laporan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TNB cadang lupus pegangan dalam unit tenaga boleh diperbaharui - laporan

KUALA LUMPUR 7 Nov - Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk melupuskan pegangan minoriti dalam unit tenaga boleh diperbaharui (RE) bagi membantu membiayai pengembangannya dalam sektor itu, demikian menurut Bloomberg

 

Berdasarkan laporan itu yang memetik sumber, syarikat utiliti tersebut telah meminta bank mengemukakan cadangan, yang boleh mengumpul antara AS$300 juta hingga AS$1 bilion (RM4.74 bilion) daripada bakal pelabur. 

 

Setakat ini, TNB masih belum memilih penasihat kewangan dengan perbincangan sedang berjalan dan tiada jaminan bahawa TNB akan meneruskan penjualan kepentingan tersebut.

 

Dalam maklum balas kepada Bloomberg, Ketua Pegawai Tenaga Baharu TNB, Mohd. Zarihi Mohd. Hashim berkata, strategi pertumbuhan RE kumpulan melibatkan penubuhan entiti yang tulen.

 

"Ia masih di peringkat awal membangunkan strategi modal, dan menjangkakan entiti ini menarik pelabur sejajar dengan matlamat strategik mereka," katanya dalam laporan tersebut hari ini.

 

TNB menyasarkan untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050 dan menjadi bebas arang batu menjelang awal 2040, menurut nota pembentangan alisis terbaharunya. 

 

Kumpulan kini memberi tumpuan kepada pasaran RE di United Kingdom (UK), Malaysia, Thailand, Filipina dan Vietnam.

 

Malah, ia juga dijangka mempunyai 0.7-gigawatt kapasiti boleh diperbaharui terpasang menjelang akhir tahun, dan merancang untuk meningkatkannya kepada 14.3GW menjelang 2050.

 

Selain itu, TNB yang sedang meneroka untuk mengembangkan perniagaan boleh diperbaharuinya ke pasaran lain di Eropah dan Asia, akan melabur sebanyak AS$7 bilion ekuiti dalam ruang itu menjelang 2050.

 

Dengan nilai pasaran kira-kira RM48 bilion, TNB yang menandatangani perjanjian pembelian kuasa selama 30 tahun, dijangka bermula pada 2027, untuk loji hidro 300 megawatt di Malaysia.

 

Di samping itu, kumpulan juga telah membeli beberapa aset angin di UK, termasuk portfolio angin di pesisir pantai dengan kapasiti 97.3 megawatt awal tahun ini, diikuti 49% pegangan dalam syarikat ladang angin luar pesisir Blyth Onshore Demonstrator Ltd pada 2021. - DagangNews.com