TIV 2023 dijangka lebih rendah sekitar 600,000 unit disebabkan kelembapan ekonomi - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TIV 2023 dijangka lebih rendah sekitar 600,000 unit disebabkan kelembapan ekonomi - RHB Research

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 3 Jan - RHB Research menyemak semula unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi 2023 sebanyak 600,000 unit ekoran pertumbuhan ekonomi yang lebih lemah dan ketiadaan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST). 

 

Unjuran itu lebih rendah berbanding anggaran Persatuan Automotif Malaysia (MAA) sebanyak 636,000 unit bagi 2023.

 

Penganalisisnya, Jim Lim Khai Xhiang berkata, unjuran 600,000 itu merangkumi volum yang lebih kukuh pada suku pertama 2023 kerana syarikat tergesa-gesa untuk memenuhi pesanan yang dikecualikan SST sebelum akhir Mac.

 

"Memandangkan TIV tahun ini akan mencecah rekod sehingga 700,000 unit, kami berpendapat TIV 2023 akan menurun 14% kepada 600,000 unit. 

 

"Ini disebabkan masalah rantaian bekalan yang semakin berkurangan menyebabkan semua mata kini tertumpu pada pesanan baharu, dengan jangkaan pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan," katanya dalam nota kajian pada Rabu lalu.

 

Di peringkat global, masalah kekurangan cip semakin mereda membolehkan kebanyakan pemain di dalam negara mendapatkan bekalan semikonduktor dan komponen yang diperlukan.

 

Dalam hal ini, jenama nasional telah mengeluarkan hampir kapasiti penuh dalam beberapa bulan kebelakangan ini dan kemungkinan akan terus berbuat demikian dalam beberapa bulan akan datang bagi memenuhi pesanan yang dikecualikan SST.

 

Namun, hanya Tan Chong Motor, Bermaz Auto dan Sime Darby yang masih mengalami masalah kekurangan bekalan.

 

Menurut Khai Xhiang, selepas tempoh pengecualian SST berakhir, tempahan kenderaan semakin pulih bulan ke bulan apabila pengguna mula menyesuaikan diri dengan harga termasuk SST.

 

Beliau melihat ia sebagai petanda yang sangat menggalakkan dan menjangkakan model baharu pada 2023 akan memacu tempahan baharu.

 

"Bagaimanapun, kami terus menjangkakan pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan dan kemungkinan pembaharuan duti eksais akan menjejaskan permintaan kereta," jelasnya.

 

Pada masa sama, beliau menjangkakan lebih banyak penawaran kenderaan elektrik (EV) pada 2023, antaranya, BMW dijadualkan menawarkan EV i7 dan i5 serba elektrik, dan hibrid plug-in XM.

 

Sementara itu, BYD telah menerima beribu-ribu tempahan untuk Atto 3 manakala Bermaz Auto juga akan melancarkan Peugeot e-2008 dan Kia PBV1 EV baharu dan Toyota pula akan memperkenalkan EV bZ4X bateri yang pertama.

 

"Kami juga menjangkakan untuk melihat beberapa wajah baharu di jalan raya, contohnya Ora Good Cat oleh Great Wall Motors. 

 

"Walaupun belum bersedia untuk 2023, Perodua akan memperkenalkan EV hibrid pertamanya pada 2024, dan Proton dijangka melancarkan EV pertamanya pada 2027," katanya.

 

Meskipun terdapat beberapa perkembangan positif pada 2023, tetapi RHB Research masih mengekalkan pandangan 'neutral' dengan prospek berhati-hati disebabkan pertumbuhan ekonomi yang lebih lemah akan mengheret turun sentimen bagi sektor automotif.  Pilihan utamanya bagi sektor ini ialah Bermaz Auto dan Sime Darby. - DagangNews.com