Tindakan PM mansuh AP makanan langkah tepat bagi basmi golongan kartel | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tindakan PM mansuh AP makanan langkah tepat bagi basmi golongan kartel

KUALA LUMPUR 23 Mei - Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memansuhkan permit import (AP) terhadap bahan makanan berkuat kuasa serta-merta adalah langkah tepat dan berani agar golongan kartel tidak berleluasa.

 

Menurut satu kenyataan menerusi blog Suara Keluarga, pada waktu ini wujudnya satu gerakan kartel pengusaha ayam di Malaysia bercadang untuk melakukan catuan bekalan ayam, demi menaikkan harga ayam secara paksa akibat bekalan yang rendah dan permintaan tinggi.

 

"Bekalan makanan negara dikatakan dalam tahap meruncing. Terbaru, kartel ayam di Malaysia ingin melaksanakan penghentian operasi ladang ayam bagi menekan kerajaan untuk menaikkan harga syiling ayam berikutan peningkatan harga gandum sekaligus produk dedak sebagai makanan ayam. 

 

"Tindakan Perdana Menteri menghapuskan AP Makanan adalah langkah tepat dan berani agar kartel tidak berleluasa membuat keputusan sendiri tatkala bencana ini dirasai oleh seluruh masyarakat dunia," katanya.

 

Jelas kenyataan itu, punca berlakunya masalah tersebut disebabkan peperangan Rusia dan Ukraine sejak Februari lalu yang menjejaskan ekonomi dunia.

 

"Ukraine-Rusia adalah pembekal 30% dari gandum dunia. Pembekal gandum nombor 1 di dunia adalah China. Pembekal gandum nombor 2 di dunia adalah India. 

 

Pada Februari lalu, Rusia perang dengan Ukraine. Maka, terbantutlah atau tersekatlah 30% bekalan gandum dunia, akibat petani Ukraine tidak boleh bekerja sebab peperangan dan Rusia pula dikenakan sekatan ekonomi," katanya.

 

Katanya, disebabkan 30% bekalan gandum dunia dari Ukraine dan Rusia terbantut, maka harga gandum dunia melonjak antara 30 hingga 40% kenaikan, yang berlaku khususnya di Eropah.

 

"Pembekal-pembekal gandum di India melihat peluang jualan gandum di luar, lebih menguntungkan. Kalau jual di dalam negara, harga biasa. Jadi, pembekal-pembekal jual majoriti gandum India kepada orang luar.

 

"Timbul persoalan, mengapa India mengurangkan secara drastik bekalan gandum eksport ke seluruh dunia? Bukan sebab bekalan gandum terputus atau kemarau, tidak hujan, atau rancangan dajjal. Tetapi, sebab pembekal-pembekal ini tamak. Mereka menjual majoriti gandum kepada orang luar, termasuklah bahagian yang sepatutnya dijual di dalam negara.

 

"Secara ringkasnya, anggap sebelum ini bekalan gandum India ada 6 juta tan, 3 juta tan dijual dalam negara, baki 3 juta tan lagi dieksport. Apabila Rusia-Ukraine berperang, India ada 6 juta tan bekalan, tetapi 5 juta tan mereka eksport, 1 juta tan sahaja dijual dalam negara," katanya.

 

Tambah kenyataan itu, Kerajaan India melihat pembekal-pembekal gandum bermasalah dan menyekat pengeksport gandum, supaya bekalan gandum di dalam negara untuk rakyat India mencukupi.

 

"Kesimpulannya, krisis makanan di seluruh dunia hasil perbuatan manusia. India hentu eksport gandum? Perang Rusia-Ukraine punya pasal. Bekalan ayam Malaysia tak cukup? Dedak mahal punya pasal. Kartel ayam punya pasal.

 

"Kita perlu bersedia pada masa akan datang, wujud beberapa lagi bekalan makanan lain yang akan dicatu atau “tak cukup bekalan” akibat ketamakkan manusia. Hal ni semua boleh dielakkan, kalau kita semua hidup aman damai tanpa perang dan sengketa.

 

"Keperluan Malaysia pada waktu ini adalah untuk mensejahterakan semula krisis agihan makanan dengan kerjasama seluruh masyarakat," katanya. - DagangNews.com