Tetra Pak raih pengiktirafan European Climate Leader 2023 daripada Financial Times | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tetra Pak raih pengiktirafan European Climate Leader 2023 daripada Financial Times

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 3 Mei - Tetra Pak meraih pengiktirafan 'European Climate Leader 2023' oleh Financial Times, sebagai tanda pengiktirafan kemajuan syarikat tersebut dalam mengurangkan emisi gas rumah hijau (GHG) serta komitmen padunya dalam usaha menangani perubahan iklim. 

 

Tetra Pak dalam kenyataan hari ini berkata, daripada ribuan organisasi yang telah dinilai oleh Financial Times dan Statista, hanya 500 syarikat utama dengan pengurangan terbesar dalam intensiti emisi GHG masing-masing telah disenarai pendek. 

 

Katanya, dalam 500 syarikat tersebut, Tetra Pak disenaraikan dalam 20% teratas, yang mana ia telah berjaya mengurangkan emisi sebanyak 54.3% secara mutlak bagi Skop 1 dan 2 dalam jangka masa lima tahun. 

 

"Kejayaan itu juga menandakan usaha Tetra Pak yang merentasi seluruh rantaian nilainya (Skop 3), dengan mengetengahkan keanggotaan yang konsisten syarikat ini dalam Senarai A oleh CDP di samping sasaran bersih sifar (net zero) miliknya seperti yang diluluskan oleh 'Science Based Targets initiative' (SBTi) bagi haluan 1.5°," katanya.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tetra Pak, Adolfo Orive berkata, pengiktirafan itu membuktikan keringat dan dedikasi yang telah dicurahkan pasukan mereka, termasuk para pembekal, pelanggan dan pemegang taruh. 

 

"Kami berbangga dengan pencapaian yang telah dilakar bersama, dan mempunyai rancangan untuk terus menangani impak organisasi kami terhadap alam sekitar dengan menyahkarbonkan rantaian nilai kami.

 

 

tetrapak

 

 

"Ini termasuk memacu penyelesaian sirkular sambil menyumbang kepada kebingkasan sistem makanan, menjadikannya lebih selamat dan mudah diakses, serta melindungi biodiversiti bumi kita," katanya.

 

Katanya, langkah-langkah tersebut menjadi teras organisasi, justeru pihaknya berjanji untuk melindungi makanan, para insan dan planet ini. - DagangNews.com