Zoo Taiping catat kelahiran baharu, sokong program pemuliharaan harimau Malaya | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Zoo Taiping catat kelahiran baharu, sokong program pemuliharaan harimau Malaya

Rusa Axis antara spesies yang merekodkan kelahiran baharu di Zoo Taiping.
Oleh Zaki Salleh

TAIPING 11 Mac – Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) terus mencatat kejayaan dalam usaha pemuliharaan hidupan liar apabila merekodkan beberapa kelahiran baharu.

 

Kelahiran hidupan liar ini direkodkan bagi tempoh Julai hingga Disember 2025.

 

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping, Mohamed Akmal Dahalan memberitahu, antaranya seekor orang utan Borneo, tiga ekor walabi, tiga ekor burung botak upeh, dua ekor rusa Bawean, dua ekor rusa Axis serta seekor rusa ubi.

 

Selain itu, beliau berkata, sebanyak 16 ekor burung botak upeh turut direkodkan menetas secara semula jadi di habitat luar kawasan pameran zoo dalam tempoh yang sama.

 

Perak
Orang Utan Borneo.

 

Perak
Tiga ekor Walabi.

 

“Sehingga kini, jumlah burung botak upeh yang berada di dalam kurungan dan juga secara bebas di sekitar kawasan zoo adalah sebanyak 106 ekor.

 

“Kejayaan tersebut menjadi pengukur penting terhadap tahap penjagaan, pengurusan habitat serta program pembiakan yang dilaksanakan di zoo ini,” katanya dalam satu kenyataan media.

 

Menurut beliau, kejayaan ini juga memberi sumbangan signifikan kepada agenda konservasi spesies hidupan liar, khususnya yang berstatus terancam dan memerlukan perlindungan berterusan.

 

Dalam perkembangan berkaitan, ZTNS turut menyumbangkan 2 ekor rusa ubi dan 3 ekor babi hutan bagi menjayakan Program Pelepasan Rusa untuk Pemuliharaan Sumber Makanan Harimau Malaya di Taman Negeri Royal Belum pada 11 Februari lalu.

 

Perak
Burung botak upeh.

 

Perak
Dua ekor rusa Bawaen.

 

Perak
Zoo Taiping terlibat dalam program pelepasan rusa untuk pemuliharaan sumber makanan harimau Malaya di Taman Negeri Royal Belum pada 11 Februari lalu.

 

Perak

 

Jelas Mohamed Akmal program tersebut merupakan kerjasama julung kali melibatkan kerajaan Perak, Perbadanan Taman Negeri Perak, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), World Wide Fund for Nature (WWF) serta Yayasan Sultan Idris Shah II.

 

Katanya, inisiatif tersebut bertujuan memperkukuh populasi hidupan mangsa di habitat semula jadi sebagai sumber makanan utama harimau Malaya yang semakin terancam.

 

Beliau menambah, usaha berkenaan membuktikan peranan ZTNS bukan sahaja sebagai pusat rekreasi dan pendidikan, malah sebagai institusi konservasi yang aktif menyokong pemuliharaan biodiversiti negara secara menyeluruh. - DagangNews.com