Zon Kewangan Khas Forest City berpotensi menarik pelabur Maha Kaya antarabangsa | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Zon Kewangan Khas Forest City berpotensi menarik pelabur Maha Kaya antarabangsa

Zon Kewangan Khas Forest City mampu menarik golongan kaya dari seluruh dunia untuk melabur.
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 12 Feb - Zon Kewangan Khas Forest City (SFZ) berpotensi menarik pelabur Maha Kaya antarabangsa, sekali gus menjadi hab kewangan serantau, memanfaatkan kedudukannya yang strategik di Asia Tenggara. 

 

Menurut TA Securities, kedudukannya yang dekat dengan Singapura yang juga pusat kewangan utama di peringkat serantau dan global, menjadikan SFZ sebagai pelengkap semula jadi kepada sektor kewangan Singapura yang sudah kukuh.

 

"Ini boleh mendorong permintaan terhadap pelaburan dan perkhidmatan kewangan. Selain itu, lokasinya dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) memperkukuhkan potensi ekonomi dan membolehkan ia memanfaatkan pertumbuhan JS-SEZ," katanya dalam satu kenyataan.

 

 

Firma tersebut menekankan fleksibiliti dalam pertukaran asing sebagai antara tarikan utama pelabur, yang membolehkan pinjaman luar negara tanpa sekatan dan pelaburan dalam aset mata wang asing. 

 

Selain itu, zon berkenaan menawarkan insentif menarik untuk projek yang fokus kepada kelestarian serta manfaat cukai, mewujudkan persekitaran yang baik untuk pelbagai perkhidmatan kewangan, termasuk syarikat teknologi kewangan dan pejabat keluarga.

 

"Langkah-langkah ini dipercayai dapat menarik individu sangat kaya untuk melabur. Kadar cukai yang lebih rendah untuk pakar dan pekerja berpengetahuan yang kembali ke negara ini dapat membantu memperdalam bakat tempatan, sekali gus menguatkan ekosistem kewangan SFZ," tambahnya.

 

Bagaimanapun, TA Securities juga meramalkan persaingan antara bank tempatan di Johor mungkin akan meningkat, apabila bank asing yang ditubuhkan di Malaysia seperti UOB dan OCBC, yang masing-masing sudah mempunyai kira-kira tujuh cawangan di Johor, akan menikmati fleksibiliti kawal selia untuk membuka lebih banyak cawangan dalam SFZ.

 

"Namun, kami percaya semua bank akan mendapat manfaat daripada peningkatan aktiviti perniagaan secara keseluruhan," jelasnya.

 

Dengan pelan JS-SEZ untuk menarik 50 projek dalam tempoh lima tahun dan 100 projek dalam dekad ini, bank-bank berpotensi meneroka industri bernilai tinggi yang sedang berkembang seperti pusat data, tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor dan pembuatan maju.

 

Ini juga termasuk sektor-sektor baharu yang diutamakan seperti aeroangkasa, elektronik, kimia, peralatan perubatan dan farmaseutikal yang sedang membuka operasi di Johor.

 

TA Securities turut memaklumkan, bank-bank yang kuat di Singapura dan Johor seperti Malayan Banking Bhd (Maybank), CIMB Group Holdings Bhd, Hong Leong Bank Bhd dan RHB Bank Bhd, berada dalam kedudukan yang baik untuk merebut peluang pertumbuhan di Johor.

 

"Kami percaya kemampuan untuk memudahkan perkhidmatan kewangan rentas sempadan akan menjadi kelebihan utama, menjadikan mereka rumusan sehenti bagi pelabur dan perniagaan di Johor dan Singapura," jelasnya. - DagangNews.com