KUALA LUMPUR 6 Feb - Zecon Bhd menjalinkan kerjasama dengan Petrosabah Sdn Bhd bagi melaksanakan pembangunan loji solar fotovoltaik (PV) terapung berskala besar di Lahad Datu, Sabah.
Kumpulan itu berkata, berdasar perancangan, projek itu akan dilaksanakan di Lot No. CL115355667 di Lahad Datu.
"Memorandum persefahaman (MoU) ini akan menjadi platform bagi kedua-dua pihak untuk memeterai perjanjian usaha sama rasmi dan/atau mana-mana perjanjian lain yang berkaitan dengan projek cadangan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Petrosabah merupakan anak syarikat Innoprise Corp Sdn Bhd iaitu cabang pelaburan dan pengurusan Kumpulan Yayasan Sabah.
Kumpulan itu berkata, kedua-dua pihak bersetuju projek cadangan itu masih di peringkat awal dan tertakluk kepada kajian komprehensif yang akan dijalankan serta perlu menerima kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan.
Katanya, mereka bersetuju membentuk sebuah yarikat usaha sama bagi tujuan itu dengan cadangan struktur pegangan saham masing-masing sebanyak 70% (Zecon) dan 30% (Petrosabah). Saham tersebut perlu itawarkan kepada Petrosabah sebagai saham percuma.
"MOU ini akan berkuat kuasa dari tarikh ditandatangani dan akan terus berkuat kuasa untuk tempoh enam bulan atau sehingga dihentikan atau yang mana lebih awal," katanya.
Zecon berkata, MOU itu tidak akan mempunyai sebarang kesan material ke atas modal saham terbitan dan pegangan saham pemegang saham yang besar dalam syarikat kerana tiada terbitan saham biasa baharu.
Katanya, ia juga dijangka tidak memberi kesan kepada kewangan kumpulan kerana masih belum ada perjanjian rasmi dilaksanakan. - DagangNews.com








