KUALA LUMPUR 25 Jun — Keupayaan pemerolehan bekalan elektrik tambahan menjadi antara cabaran utama perlu ditangani segera oleh YTL Power International Berhad, menurut analisis MBSB Research.
Firma penyelidikan tersebut menambah, isu berkenaan wajar diuruskan dengan baik dalam usaha ia merealisasikan sasaran pengembangan agresif pusat data (DC) kendaliannya sehingga kapasiti 2.4GW.
Selain itu, syarikat tersebut turut berdepan dengan keperluan pelaburan modal yang besar bagi membangunkan DC generasi baharu, termasuk pembinaan banyak stesen pendaratan kabel (CLS) baharu.
"Langkah berkenaan adalah perlu untuk YTL Power memastikan kemudahan sedia ada mampu menampung keperluan kecerdasan buatan (AI) yang semakin intensif tenaga," jelas MBSB Research dalam notanya.
Bagaimanapun, ia masih mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM5.65 sesaham kerana percaya segmen DC bakal menjadi pemacu pertumbuhan baharu kumpulan tersebut.
Kata firma itu, saham syarikat berkenaan diniagakan pada nisbah harga kepada pendapatan (PER) bagi unjuran FY27 sebanyak 16.3 kali, dan menawarkan peluang kemasukan yang menarik kepada pelabur.

Justeru MBSB Research terus menyukai saham YTL Power berikutan pengembangan strategiknya dalam sektor DC yang kini muncul sebagai bidang pertumbuhan baharu dan berpotensi bagi kumpulan itu.
"Perkembangan positif pembangunan di Taman DC Hijau syarikat tersebut di Kulai, Johor menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan dengan banyak aktiviti pembinaan berjalan amat rancak," tambahnya.
Setakat ini, empat DC sudah beroperasi, sebuah lagi berada dalam fasa ujian manakala dua sedang dibina, dan setakat 3QFY26, kapasiti meningkat kepada 150MW berbanding 110MW pada suku sebelumnya.
Menurut MBSB Research, jumlah kapasiti diperoleh kini mencecah 298MW, dengan YTL Power menjangka sebanyak 288MW dapat disiapkan menjelang FY27 manakala baki 10MW pula dapat diserahkan pada FY28.
Kata firma itu, kumpulan tersebut merancang menggandakan kapasiti DC di Kulai daripada 600MW kepada 1.2GW, dan memerlukan CLS baharu memandangkan had sedia ada hampir mencapai paras maksimum.
"Daripada keseluruhan kawasan seluas 664 hektar di Kulai, kira-kira 101 hektar sudah diperuntukkan syarikat ini untuk pembangunan DC manakala selebihnya akan digunakan bagi projek solar," jelasnya.
Selain di Johor tambah MBSB Researh, YTL Power turut merancang pembangunan DC berkapasiti 70MW di Cyberjaya serta berpotensi membangunkan sehingga 1,000MW lagi di Lembah Klang. - DagangNews.com








