Ecobuilt berdepan risiko digantung dagangan, jika gagal keluarkan laporan tahunan 2026 pada 7 Julai | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ecobuilt berdepan risiko digantung dagangan, jika gagal keluarkan laporan tahunan 2026 pada 7 Julai

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 25 Jun - Ecobuilt Holdings Bhd membayangkan kemungkinan bakal digantung dagangan jika gagal memenuhi tarikh akhir Bursa Malaysia untuk mengeluarkan laporan tahunan bagi tempoh kewangan berakhir 28 Februari 2026 (FY2026).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat pembinaan itu berkata penerbitan Laporan Tahunan 2026 yang merangkumi penyata kewangan teraudit, laporan juruaudit dan laporan pengarah dijangka melepasi tarikh akhir 30 Jun 2026 yang ditetapkan di bawah Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia.

 

Menurut Ecobuilt, kelewatan tersebut berpunca daripada keperluan masa tambahan untuk memuktamadkan proses penyediaan dan audit penyata kewangan bagi tahun kewangan berkenaan.

 

"Kelewatan dalam penerbitan Laporan Tahunan 2026 adalah disebabkan masa tambahan yang diperlukan untuk memuktamadkan dan melengkapkan penyata kewangan teraudit bagi TK2026," katanya.

 

Di bawah peraturan Bursa Malaysia, syarikat tersenarai yang gagal mengeluarkan laporan tahunan dalam tempoh lima hari pasaran selepas tarikh akhir yang ditetapkan boleh dikenakan penggantungan dagangan sekuritinya.

 

Sehubungan itu, Ecobuilt berkata dagangan saham syarikat akan digantung bermula 8 Julai 2026 sekiranya laporan tahunan berkenaan masih belum diterbitkan menjelang 7 Julai 2026.

 

Selain itu, Bursa Malaysia juga boleh memulakan prosedur penyahsenaraian sekiranya laporan tahunan yang tertunggak masih gagal diterbitkan dalam tempoh enam bulan selepas tamat tempoh yang ditetapkan.

 

Bagaimanapun, syarikat menjangkakan laporan tahunan bersama penyata kewangan teraudit dapat diterbitkan dan diserahkan kepada Bursa Malaysia pada atau sebelum 7 Julai 2026.

 

Setakat 30 November 2025, Ecobuilt berada dalam kedudukan hutang bersih sebanyak RM2.03 juta apabila jumlah pinjaman mencecah RM3.37 juta berbanding tunai dan setara tunai sebanyak RM1.35 juta.

 

Syarikat itu juga terus mencatat kerugian sejak tahun kewangan 2022, mencerminkan cabaran berterusan dalam operasi dan prestasi kewangannya.

 

Pada September tahun lalu, Bursa Malaysia mengeluarkan teguran awam terhadap Ecobuilt selain mengenakan denda RM200,000 masing-masing ke atas bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ng Choon Keith dan bekas pengarahnya, Datuk Ong Chee Koen.

 

Tindakan itu susulan kegagalan syarikat membuat pengumuman segera mengenai perintah penggulungan yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi pada 24 Julai 2024 serta mengeluarkan pengumuman yang didapati mengelirukan berkaitan perkara tersebut.

 

Menurut Bursa Malaysia, Ecobuilt hanya mendedahkan kewujudan perintah penggulungan itu selepas tiga hari pasaran, manakala perintah berkenaan kemudiannya diketepikan oleh Mahkamah Rayuan pada September 2024. - DagangNews.com