Gangguan monsun, ketidaktentuan kadar sewaan kapal jejaskan Keyfield kekalkan hasil, kata TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gangguan monsun, ketidaktentuan kadar sewaan kapal jejaskan Keyfield kekalkan hasil, kata TA Securities

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 25 Jun — Risiko gangguan operasi akibat musim monsun, ketidaktentuan kadar sewaan harian kapal kekal menjadi antara cabaran utama yang perlu dihadapi Keyfield International Berhad.

 

Menurut TA Securities, persaingan sengit dalam industri perkhidmatan minyak dan gas (O&G) turut boleh menjejaskan kumpulan tersebut dalam mengekalkan momentum pertumbuhan pendapatan semasanya.

 

Selain itu, kelewatan pergerakan aset dan kadar penggunaan armada yang belum mencapai had optimum menjadi antara faktor yang perlu dipantau pelabur dalam persekitaran industri ini terus mencabar.

 

"Bagaimanapun, kami mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Keyfield dengan harga sasaran (TP) RM1.74 sesaham selepas ia berjaya meraih 13 kontrak sewaan baharu bernilai RM229 juta," jelasnya.

 

TA Securities dalam analisisnya berkata, kontrak diperoleh kumpulan tersebut melibatkan gabungan pelbagai jenis kapal untuk operasinya di sekitar Malaysia, Thailand serta rantau Timur Tengah.

 

Ujar firma berkenaan, kontrak tersebut sudah bermula atau dijadualkan bermula antara suku kedua hingga suku ketiga tahun kewangan 2026 dengan tempoh sewaan tetap antara satu hingga 17 bulan.

 

Artikel berkaitan: Keyfield raih 13 kontrak bernilai RM229 juta dengan pilihan lanjutan bernilai RM41 juta

 

Keyfield_DagangNews2026

 

Keyfield tambahnya, sudah memperoleh sejumlah 21 kontrak sewaan dalam tempoh separuh pertama tahun kewangan 2026, sekali gus meningkatkan keterlihatan pendapatan kumpulan bagi tempoh terdekat.

 

"Sebanyak 12 daripada 14 kapal milik Keyfield untuk operasi, manakala baki dua dijangka berkhidmat pada awal separuh kedua 2026 selepas selesai proses pemeriksaan pelanggan," kata TA Securities.

 

Secara keseluruhan, jumlah kontrak yang berjaya diperoleh kumpulan berkenaan setakat tahun ini mencecah RM391 juta, bersamaan kira-kira 90% daripada unjuran hasil FY26 firma penyelidikan itu.

 

Walaupun kadar sewaan harian tidak didedahkan, ia menganggarkan kontrak tersebut membayangkan kadar RM100,000 hingga RM120,000 sehari bagi kapal jenis AWB dan RM45,000 sehari bagi kapal AHTS.

 

Kontrak baharu itu ujar TA Securities, sejajar jangkaan dan konsisten dengan andaian penggunaan armada sebanyak 68% bagi FY26, selain dijangka meningkat apabila dua lagi kapal memulakan operasi.

 

"Tiada perubahan terhadap unjuran pendapatan Keyfield kerana kontrak baharu adalah selaras dengan andaian penggunaan armada dan kadar sewaan sedia ada," katanya. - DagangNews.com