Yinson perkenal Hydromover 2.0, kapal kargo elektrik generasi baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Yinson perkenal Hydromover 2.0, kapal kargo elektrik generasi baharu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Okt - Yinson GreenTech melalui marinEV memperkenalkan kapal kargo elektrik sepenuhnya generasi baharu, Hydromover 2.0 yang menawarkan jarak perjalanan lebih jauh, masa pengecasan lebih pantas serta kapasiti kargo lebih besar, sambil menggabungkan teknologi digital dan elektrifikasi terkini dalam operasi maritim.

 

Katanya, Hydromover 2.0 menetapkan penanda aras baharu untuk pemindahan kargo tanpa pelepasan karbon di pelabuhan seluruh dunia.

 

Dibangunkan berasaskan kejayaan prototaip Hydromover — kapal kargo elektrik pertama Singapura yang dilancarkan pada November 2023 — versi baharu ini memperkenalkan pelbagai ciri utama termasuk kapasiti penyimpanan tenaga lebih tinggi, reka bentuk badan kapal yang mengurangkan daya seretan, dan seni bina elektrik baharu yang dapat mengurangkan kehilangan tenaga.

 

"Peningkatan tersebut membolehkan jarak pelayaran tiga kali ganda lebih jauh, mencukupi untuk meliputi semua kawasan tambatan dalam had pelabuhan Singapura. Kapal itu juga boleh dicas sepenuhnya dalam masa kurang daripada dua jam, memastikan masa operasi tinggi dan kebolehpercayaan harian," katanya dalam satu kenyataan.

 

Selain itu, Hydromover 2.0 menawarkan kapasiti kargo 25% lebih besar dan ruang dek 75% lebih luas, sekali gus meningkatkan kecekapan dan fleksibiliti dalam operasi pelabuhan.

 

yinson

 

Gabungan tenaga bersih dan teknologi pintar ini menjadikan Hydromover 2.0 sebagai pemangkin transformasi operasi pelabuhan tradisional kepada ekosistem yang lebih cekap, berhubung dan pintar.

 

Pada majlis pelancarannya, Yinson GreenTech menandatangani perjanjian pajakan pertama dengan Yacht International UAE, menandakan kemasukan rasmi kapal itu ke pasaran maritim. Penghantaran kapal Hydromover 2.0 ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dijangka selesai menjelang pertengahan tahun 2026.

 

Selain itu, memorandum persefahaman (MoU) turut dimeterai antara Yinson GreenTech, Yacht International UAE dan Wilhelmsen Port Services bagi memperluas penggunaan kapal elektrik di pelabuhan seluruh UAE.

 

Pengarah Urusan marinEV, Jan-Viggo Johansen, berkata kapal itu menetapkan piawaian baharu dalam industri maritim moden.

 

“Ini membuktikan kemampuan kami bergerak melangkaui inovasi ke arah pelaksanaan sebenar, membawa teknologi kapal elektrik terbukti serta sistem IoT dan platform digital bersepadu dari Singapura ke pasaran baharu,” katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Yacht International LLC, Prakash Vakkayil Bhaskaran berkata, projek itu menunjukkan inovasi lestari dan kecekapan komersial boleh digabungkan secara seiring, menetapkan penanda aras baharu untuk operasi maritim yang bersih, pintar dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

 

"Projek itu menunjukkan inovasi mampan dan kecekapan komersial mampu bergerak seiring, menetapkan penanda aras baharu untuk operasi marin yang bersih, pintar dan bertanggungjawab" katanya. - DagangNews.com