KUALA LUMPUR 30 April - Bank Rakyat mengumumkan pelantikan Noor Aeiza Hassan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bank Rakyat baharu, berkuat kuasa pada 29 April 2025.
Bank Rakyat berkata, pelantikan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk mengukuhkan peranan yayasan dalam menjaga kebajikan ahli dan masyarakat.
"Noor Aeiza memiliki kelulusan bidang sumber manusia dalam psikologi dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan mempunyai pengalaman lebih 14 tahun di peringkat pengurusan dalam industri komunikasi serta latihan pembangunan keusahawanan," katanya dalam satu kenyataan.
Bank Rakyat yakin, dengan pengalaman luas yang dimiliki, Noor Aeiza dapat memimpin dan mengurus Yayasan Bank Rakyat dengan berkesan.
"Keyakinan ini seiring dengan usaha Yayasan Bank Rakyat untuk terus membantu golongan memerlukan, terutama dalam meningkatkan taraf hidup melalui pendidikan dan pembangunan insan, selaras dengan konsep Malaysia Madani," ujarnya. - DagangNews.com








