KUALA LUMPUR 12 Jun - PRG Holdings Berhad menerima tuntutan statutori berjumlah kira-kira RM6.42 juta terhadap anak syarikat tidak langsung milik penuhnya, Premier Construction (International) Sdn Bhd (PCI), daripada tujuh subkontraktor yang terlibat dalam Projek Picasso Residence di Kuala Lumpur.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, PRG berkata PCI telah menerima tuntutan statutori tersebut pada 10 Jun 2026 daripada Tetuan The Law Office of Wong & Ang yang bertindak bagi pihak subkontraktor berhubung jumlah yang didakwa masih terhutang oleh syarikat itu.
Menurut syarikat itu, PCI merupakan kontraktor utama yang dilantik oleh Premier De Muara Sdn Bhd bagi melaksanakan kerja-kerja pembinaan Projek Picasso Residence yang terletak di Bandar Kuala Lumpur.
Tuntutan tersebut melibatkan pelbagai kerja subkontrak yang telah dilaksanakan termasuk kerja pelapisan fasad, pemasangan jubin, kerja bata dan plaster, lantai kayu, kerja aluminium dan kaca, sistem keselamatan serta perkhidmatan elektrik dan voltan rendah tambahan (ELV).
Daripada jumlah keseluruhan tuntutan, EKL Metal Sdn Bhd merupakan penuntut terbesar dengan tuntutan sebanyak RM3.63 juta bagi kerja-kerja aluminium dan kaca, diikuti Cablecon Sdn Bhd sebanyak RM1.80 juta bagi kerja-kerja elektrik dan ELV.
Turut mengemukakan tuntutan ialah Summit Leap Sdn Bhd (RM352,105.87), Siah & Leong Construction PLT (RM315,126.50), TL Projects and Renovations PLT (RM194,410.40), CALMS Technologies Sdn Bhd (RM79,672.40) dan Pak Lok Sdn Bhd (RM58,522.96).
PRG berkata, tuntutan statutori tersebut dijangka tidak memberi kesan operasi yang material kepada kumpulan.
Prosiding Penggulungan
Bagaimanapun, sekiranya PCI gagal menjelaskan tuntutan berkenaan atau gagal mencapai penyelesaian yang memuaskan dalam tempoh 21 hari daripada tarikh penyampaian tuntutan statutori, para penuntut berhak memulakan prosiding penggulungan terhadap syarikat itu di bawah Seksyen 466(1)(a) Akta Syarikat 2016.
Menurut PRG, hasil semakan awal mendapati sebahagian besar daripada jumlah yang dituntut adalah berkaitan kerja-kerja yang telah dilaksanakan dan telah direkodkan dalam akaun PCI.
“Berdasarkan maklumat yang tersedia ketika ini, syarikat tidak menjangkakan tuntutan statutori tersebut akan mengakibatkan sebarang kerugian tambahan yang material melebihi liabiliti yang telah direkodkan dalam buku akaun PCI,” katanya.
PRG berkata, syarikat kini sedang mendapatkan nasihat undang-undang serta menilai kesahihan tuntutan yang dikemukakan.
Pada masa sama, PCI sedang berunding dengan pihak-pihak yang terlibat bagi mencari penyelesaian secara baik tanpa perlu meneruskan tindakan undang-undang lanjut. - DagangNews.com








