Magna Prima bebas hutang sepenuhnya, catat hasil RM97 juta bagi FY25 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Magna Prima bebas hutang sepenuhnya, catat hasil RM97 juta bagi FY25

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 12 JunMagna Prima Berhad berada dalam kedudukan bebas hutang sepenuhnya setelah menyelesaikan kesemua pinjaman bank, bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2025 (FY25).

 

Ia mencatatkan hasil mencecah RM97.24 juta, berikutan penyusunan semula kunci kira-kira melalui pengurangan hutang secara agresif dan pengurusan aset strategik bagi membina asas kewangan kukuh.


Menurut laporan tahunan syarikat, ia turut merekodkan keuntungan bersih RM8.45 juta bagi FY25. namun jumlah hasil mencatatkan penurunan berbanding RM204.22 juta pada tahun kewangan 2024(FY24).


"Syarikat kini mempunyai fleksibiliti kewangan yang lebih besar untuk memanfaatkan peluang pasaran tanpa ada lagi bebanan faedah pinjaman," jelas Magna Prima dalam makluman kepada Bursa Malaysia.


Keuntungan kumpulan dalam tempoh di bawah tinjauan disokong oleh kemajuan kerja-kerja pembinaan di beberapa lokasi utama, antaranya projek Residensi Armani di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor.


Ujarnya, lokasi projek yang terletak bersebelahan Kelab Golf Sultan Abdul Aziz Shah itu, terus menunjukkan prestasi jualan memberangsangkan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir 2026.


Selain itu, projek Armani Hallson KLCC di Jalan Ampang mencatatkan sambutan jualan luar biasa, manakala projek pangsapuri perkhidmatan di Kepong akan diserahkan kepada pembeli akhir tahun ini.


"Melangkah ke hadapan, pihak pengurusan Magna Prima sudah pun memulakan langkah strategik bagi mempelbagaikan lokasi pembangunannya di luar Lembah Klang pula," jelas kumpulan berkenaan.


Syarikat turut menandatangani perjanjian usaha sama (JVA) bagi projek pembangunan komersial di Johor Bahru, Johor yang serta projek perumahan di tapak seluas 46 hektar di Gopeng, Perak.


Bagi mengukuhkan penguasaan di kawasan bandar berkepadatan tinggi, kumpulan juga memuktamadkan pemerolehan tanah komersial yang strategik seluas hampir 2 hektar di Seksyen 15, Shah Alam.


Magna Prima menyatakan keyakinan kedudukan kewangan bebas hutang ini membolehkan ia membiayai projek baharu melalui aliran tunai dalaman, dan memaksimumkan pulangan jangka panjang. - DagangNews.com