KUALA LUMPUR 12 Jun – Sum Technology Berhad meraih kontrak terbaharu yang bernilai RM20.46 juta untuk projek kemudahan bilik bersih dikendalikan oleh K Test Malaysia Sdn Bhd di Ipoh, Perak.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata kontrak tersebut melibatkan kerja-kerja mereka bentuk dan membina kemudahan bilik berkenaan yang bertaraf Class 100K dan pensijilan ISO 8.
Tender tersebut diserahkan kepada anak syarikat milik penuh kumpulan berkenaan, Sum Technic Sdn Bhd, melalui surat penganugerahan (LOA) yang diterima dan turut diterima pakai pada 12 Jun 2026.
"Skop kerja itu turut meliputi pembangunan struktur sokongan keluli sekunder, lantai vinil anti-elektrostatik (ESD), dan sistem paip keluli tahan karat nitrogen cecair," jelas Sum Technology.
Kumpulan berkenaan turut akan memasang pemampat bebas minyak, dengan bertanggungjawab dalam urusan kelulusan pihak berkuasa termasuk sijil Jabatan Bomba dan Penyelamat serta perakuan bangunan.
Projek tersebut tambahnya lagi, dijadual dapat mencapai penyiapan praktikal pada 28 Februari 2027 dengan tempoh liabiliti kecacatan selama 12 bulan selepas penerimaan akhir projek berkenaan.
Sum Technology berkata, K Test Malaysia merupakan syarikat yang terlibat aktif dalam perkhidmatan pemasangan dan ujian semikonduktor luar (OSAT) serta dimiliki K-Test Co Ltd dari Korea Selatan.
"Kontrak ini dijangka mengukuhkan kedudukan kumpulan dalam rantaian bekalan industri semikonduktor dan meningkatkan penyertaannya dalam sektor berteknologi tinggi yang terus berkembang," katanya.
Lembaga pengarah berpandangan penerimaan kontrak tersebut adalah demi kepentingan terbaik syarikat dan dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan serta aset bersih sepanjang pelaksanaan.
Pada masa sama ujarnya, Sum Technology tidak menjangkakan sebarang risiko material boleh berlaku selain daripada risiko operasi dan pelaksanaan biasa yang berkaitan dengan projek tersebut.
Di samping itu, tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan yang mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak berkenaan. - DagangNews.com








