KUALA LUMPUR 17 Feb - Windsor Collection melancarkan semula pembangunan apartmen servis, ALAIA Titiwangsa di Taman Tiara Titiwangsa, susulan pengambilalihan pemaju asal projek, Black Lotus Development Sdn Bhd oleh Kenneth Lau, pengasas Windsor Collection yang juga Pengerusi Multifield International Holdings Ltd, Hong Kong.
Dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM 285 juta, Lau mengambil alih projek itu sebagai sebahagian daripada strategi pengembangannya di Malaysia.
Menyedari lokasi strategik dan tawaran reka bentuk yang menarik oleh ALAIA Titiwangsa, beliau melancarkan semula pembangunan tersebut di bawah Windsor Collection, membawa kepakaran antarabangsanya ke pasaran tempatan.
Sebagai pengerusi Multifield, Lau menerajui sebuah syarikat yang mempunyai kehadiran kukuh di rantau Asia Pasifik, dengan lebih 30 tahun pengalaman dalam pengurusan dan pembangunan kediaman, komersial, perumahan korporat, serta projek hospitaliti.
Di bawah jenama Windsor Collection, beliau telah memperkenalkan projek hospitaliti dan komersial bertaraf antarabangsa di Shanghai dan Zhuhai, China dan kini di Kuala Lumpur.
Pelancaran semula berkenaan menandakan langkah pertama Windsor Collection di Malaysia dan mencerminkan komitmen untuk meningkatkan kehidupan bandar melalui reka bentuk berkualiti, kemudahan yang diperibadi, serta inisiatif pembinaan komuniti yang aktif.
Ketua Pegawai Eksekutif Windsor Collection, Daryl Ng berkata, pelancaran semula itu menandakan babak baharu untuk ALAIA Titiwangsa, menyuntik tenaga dan pengalaman kehidupan yang lebih mewah untuk pemilik rumah dan pelabur.
"Kami mengekalkan reka bentuk dan ciri asal dan lebih 45% daripada unit telah dijual. Kami jangka permintaan kukuh akan berterusan sepanjang tahun ini.
"Pelancaran semula di bawah Windsor Collection membawa pengalaman antarabangsa kami dalam menyampaikan standard tinggi dalam pengurusan hartanah dan kehidupan berasaskan komuniti, mengukuhkan komitmen kami dalam menyediakan kediaman yang menggabungkan kemewahan dengan fungsi," katanya dalam satu kenyataan.
Dijadualkan siap pada suku keempat 2026, ALAIA Titiwangsa merangkumi 436 unit pangsapuri perkhidmatan setinggi 40 tingkat, dengan saiz unit bermula dari 635 kaki persegi hingga 1,012 kaki persegi.
Unit ditawarkan dalam konfigurasi 1+1, 2+1 dan 3+1 bilik tidur dengan reka bentuk yang memudahkan susun atur perabot dan meminimumkan pembaziran ruang.
Unit ALAIA Titiwangsa ditawarkan dengan dua pemandangan iaitu panorama hutan dan bandar raya Kuala Lumpur serta Taman Tasik Titiwangsa.
Pangsapuri perkhidmatan tersebut menyokong gaya hidup bekerja dari rumah dengan ruang kerja bersama yang bersepadu termasuk bilik mesyuarat peribadi.
Penduduk juga boleh menikmati pelbagai ruang sosial, termasuk hab sosial yang meriah dengan 18 lot kedai dan sebuah taman hijau yang menampilkan pokok buah-buahan dan taman herba.
Kemudahan lain termasuk Green Folly serta pelbagai kemudahan di tingkat 40 seperti sky lounge, sky dining, jacuzzi, bilik karaoke, kolam renang infiniti dan pawagam langit.
Bumbung bangunan berkenaan menawarkan pemandangan bandar raya Kuala Lumpur dan Banjaran Titiwangsa.
Ia juga mempunyai pelbagai kemudahan lain termasuk stesen pengecas kenderaan elektrik, trek jogging, gimnasium langit, bilik permainan kanak-kanak dan kolam renang kanak-kanak.
ALAIA Titiwangsa dilengkapi dengan kemudahan keselamatan yang baik, termasuk pemantauan 24 jam, liputan CCTV di seluruh bangunan, akses terhad ke lobi lif dan kawasan kediaman, serta pintu keselamatan tambahan pada waktu malam untuk keselamatan yang lebih tinggi.
Sempena pelancaran semula kali ini, Windsor Collection menawarkan promosi khas Tahun Baharu Cina untuk pembeli rumah.
Pelanggan yang membuat tempahan antara 1 Februari hingga 13 Mac 2025 akan menerima angpau eksklusif bernilai RM1,688, manakala program insentif rujukan akan memberi ganjaran kepada cadangan berjaya dengan yuran rujukan sebanyak 2%.
Insentif itu adalah sebahagian daripada strategi Windsor Collection untuk menggalakkan keterlibatan komuniti dan menyokong pembeli yang mencari kediaman di lokasi utama Kuala Lumpur. - DagangNews.com








